Sebelum kita dapat membincangkan
perkara di atas dengan lebih mendalam, apakah yang dimaksudkan dengan perubahan.
Mengikut Jaafar Muhamad (1999), dalam
keadaan biasa, perubahan diperkenalkan adalah hasil daripada pengubahsuaian kelakuan yang lepas untuk menyesuaikannya dengan situasi
baru.
Mengikut Carzo dan Yanouzas (Jaafar,
1999), "Perubahan ialah satu pola penukaran kelakuan atau situasi yang
stabil kepada pola perlakuan dan status stabil yang lain."
Perubahan yang berlaku dalam sesebuah
organisasi, sebagai contoh di sesebuah institusi pendidikan seperti sekolah seharusnya
bersifat Kaizen (berterusan - berlaku secara beransur-ansur
serta menyeluruh) dan positif, yang membawa ke arah yang
lebih baik atau penambahbaikan. Ini amat penting bagi menyesuaikannya dengan
perkembangan dunia yang pesat dan pantas. Perubahan juga merujuk kepada pengenalan
sesuatu tingkahlaku baru atau amalan-amalan baru yang diharap akan dapat
memperbaiki amalan atau keadaaan yang sedia ada di sekolah.
Oleh itu, persoalan yang seterusnya adalah
siapakah yang bertanggungjawab bagi mengetuai dan mengurus proses perubahan
tersebut?
Siapakah atau golongan manakah
di antara warga sekolah tersebut yang dikenalpasti sebagai ‘agen perubahan?
Siapa sebenarnya agen perubahan dalam
sesebuah institusi pendidikan?
Berdasarkan pembacaan saya, terdapat banyak
interpretasi berkenaan agen perubahan ini. Antaranya ialah :
- James A. F Stoner dan Charles Winkel (1989 : 439) - agen perubahan adalah individu yang bertanggungjawab memegang peranan kepimpinan dan mengurus proses perubahan terhadap sistem klien (individu, kumpulan atau organisasi). Agen perubahan ini boleh terdiri dari anggota di dalam atau di luar organisasi. Walau bagaimanapun agen dari luar tidak berkepentingan dipercayai lebih mudah diterima berbanding agen dari dalam organisasi berkenaan.
- Rusinah Sirun (1999 : 254) - "Change agents are individuals group that take responsibility for changing the existing pattern of behavior of a person or social system".
Persoalan yang ingin saya ketengahkan ialah adakah pengetua (sebagai agen perubahan di sekolah
(Shahril, 2000)) sahaja yang perlu melunaskan tanggungjawab ini?
Persoalan seterusnya adalah kemampuan pengetua yang juga turut dibebani dengan tugas lain sebagai
pentadbir dan pemimpin pengajaran bagi melaksanakan perubahan secara berkesan.
Sebagai seorang bakal pemimpin institusi
pendidikan, saya perlu menerima perubahan itu sebagai satu proses yang
berterusan manakala institusi pendidikan atau sekolah saya sebagai satu pusat
atau hub di mana
perubahan itu berlaku. Memandangkan sekolah saya adalah satu unit
atau organisasi yang saling bergantungan di antara satu sama lain, perubahan
adalah satu fenomena yang perlu dilalui ( sedar atau secara tidak
sedar) oleh semua warga sekolah termasuklah ibubapa, masyarakat, kementerian
yang bertanggungjawab dan negara.
Oleh itu, perlu bagi saya sebagai
pengurus perubahan utama untuk mengenalpasti bentuk-bentuk perubahan yang
melanda sekolah saya. Perubahan dalam sesebuah
organisasi boleh berlaku disebabkan oleh desakan luaran dan dorongan dalaman.
Mengikut Stoner J.A.F (1989), desakan
luaran yang mendesak kepada perubahan ialah kenaikan kos, kekurangan sumber,
kemajuan teknologi, permintaan dari luar (pengguna) dan kekurangan peruntukan
kewangan dari kerajaan. Keadaan ini menyebabkan sesebuah organisasi itu
terpaksa mengubah struktur, matlamat dan kaedah-kaedah operasinya. Manakala
desakan dalaman pula terdiri dari strategi baru, teknologi, sikap dan tingkah
laku. Walau bagaimanapun kedua-dua penggerak luaran dan dalaman ini saling
berkait.
Bentuk-bentuk Perubahan di Sekolah.
Terdapat pelbagai bentuk perubahan yang
boleh dilakukan dalam sesebuah organisasi sekolah. Biasanya perubahan di
sekolah dikaitkan dengan konsep penambahbaikan iaitu satu bentuk perubahan yang
terancang secara berterusan. Perubahan terancang bermaksud:
‘That the change is anticipated, directed
and made to occur. The end product of the successful planned changed effort is
the attainment of a predetermined objectives.
(Hussein, 1993 : 262)
Pernyataan di atas bermaksud perubahan
terancang bertujuan untuk mengubah keadaan yang kurang memuaskan pada masa
kini. Keadaan kurang memuaskan itu wujud akibat amalan dan pengurusan bilik
darjah secara yang tidak berkesan, masalah disiplin dan prestasi pelajar.
Matlamat perubahan terancang di sekolah adalah untuk mendapatkan perseimbangan
antara apa yang diharapkan (ideal) dengan apa yang tercapai (real). Secara
umumnya, perubahan terancang di sekolah memerlukan strategi dan pelan tindakan
Antara strategi termasuklah pembangunan organisasi seperti meningkatkan
keupayaan dan kebolehan ahli seperti guru-guru dan kakitangan bukan akademik di
sekolah.
Mengikut Jaafar Muhamad (1999),
seseorang pengurus yang peka dan bertanggungjawab akan membuat sesuatu untuk memelihara
keutuhan organisasinya apabila berlaku tekanan untuk perubahan. Beliau akan
menilai dan memastikan bahawa setiap perubahan yang dilakukan adalah tepat dan
sesuai dengan masalah yang dihadapi. Keadaan yang sama juga sepatutnya
dilakukan oleh pengetua apabila melaksanakan perubahan di sekolah.
Harold J. Leavitt ( Stoner, 1989 : 446)
menyatakan bahawa sesebuah organisasi boleh diubah dengan menukarkan tiga
perkara iaitu struktur, teknologi dan manusia. Mengubah struktur organisasi
melibatkan usaha-usaha menyusun semula sistem-sistem dalamannya seperti garisan-garisan
komunikasi, hubungan pihak yang berkuasa, penyatuan mekanisma, darjah pemusatan
dan merekabentuk semula tugas, aliran kerja atau hierarki pengurusannya.
Perubahan ini perlu dilakukan apabila keadaan organisasi sudah tidak atau
kurang berfungsi. Dalam konteks sekolah, pengetua boleh melakukan perubahan
dengan mengadakan penyusunan struktur tugas guru-guru dan kakitangannya
mengikut keperluan dan kepakaran masing-masing selaras dengan matlamat
organisasi. Untuk meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja, faktor-faktor
seperti minat, kepakaran, kemahiran guru perlu diambil kira dalam
menstrukturkan tugas guru-guru. Kaedah pemancaran juga sering digunakan iaitu
dengan mewujudkan beberapa pasukan atau jawatankuasa kecil supaya tugas dan
aktiviti dapat dijalankan dengan licin. Apabila ada kakitangan yang kurang
berkesan, Pengetua haruslah mengkaji kelemahan dan sebab-sebabnya bagi
membolehkan penyusunan semula tugas dilakukan. Contohnya dalam pemilihan
guru-guru untuk mengajar kelas dan dalam kursus tertentu, pembentukan
jawatankuasa kurikulum, disiplin dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam
aspek tertentu, kuasa Pengetua adalah terbatas, contohnya perlantikan dan
pertukaran guru, kenaikan pangkat dan sebagainya.
Mengubah teknologi organisasi pula bererti
menukarkan kelengkapan, proses dan teknik penyelidikan dan kaedah
pengeluarannya. Pendekatan bentuk ini telah diasaskan oleh Federick Taylor
(Stoner, 1989 : 448), menerusi Teori Pengurusan Sainstifik di mana ia
mengatakan perubahan teknologi yang canggih boleh meningkatkan produktiviti dan
mendatangkan kesan positif kepada organisasi. Dalam konteks industri yang
menekankan pengeluaran barangan, perubahan teknologi amat penting. Di sekolah,
perubahan teknologi yang melibatkan pengurusan sekolah secara saintifik akan
meningkatkan lagi keberkesanan perjalanan dan operasi kerja. Penggunaan alatan
moden seperti mesin fotostat, komputer, audio visual, teknik dan model-model
pengajaran dan pembelajaran moden akan memudahkan pengajaran guru dan pembelajaran
murid. Pada masa yang sama, teknologi moden ini dapat mewujudkan iklim
pembelajaran lebih menarik, bermotivasi dan tidak membosankan.
Satu lagi bentuk perubahan ialah
perubahan manusia. Perubahan manusia bermaksud perubahan kepada subordinat
dalam aspek kemahiran, jangkaan tanggapan dan kelakuan manusia. Sepertimana
yang kita sedia maklum, kelakuan manusia adalah sukar diubah. Manusia secara
keseluruhannya tidak menentang semua perubahan tetapi mereka akan menentang apa
yang mereka anggap boleh menggugat kedudukan mereka.
Terdapat pelbagai teknik untuk mengubah
dan memandu individu dan kumpulan untuk bekerja lebih berkesan. Mengikut Stoner
J. A. F (1989 : 454), antara teknik yang digunakan ialah latihan sensitiviti,
tinjauan maklum balas, proses perundingan, membina pasukan dan perkembangan
antara kumpulan. Dalam konteks sekolah, Pengetua boleh melakukan perubahan
tingkahlaku, sikap, tanggapan dan pengharapan guru-guru dan kakitangan sama ada
secara individu, kumpulan atau keseluruhan organisasi sekolah. Sebagai contoh
Pengetua menukarkan atau mengeluarkan guru-guru yang sering menimbulkan masalah
yang merumitkan seperti kesukaran mendapat guru ganti, lebih-lebih lagi jika ia
melibatkan guru pakar dan berpengalaman. Dalam hal ini Pengetua haruslah
menggunakan pendekatan yang fleksibel dan sesuai yang melibatkan kemahiran
kemanusiaan yang tinggi.
Ada juga bentuk perubahan yang
dilaksanakan di sekolah secara jangka panjang. Biasanya pendekatan ini merujuk
kepada usaha membangunkan organisasi secara menyeluruh dengan memfokus kepada
sifat serta kualiti hubungan kerja mereka. Antara kaedah yang biasa digunakan
ialah proses-proses penyelesaian masalah, membuat keputusan di sekolah
melibatkan samaada Pengetua memilih untuk menyelesaikan masalah secara sendiri
atau secara bersama-sama, yakni melibatkan semua subordinatnya. Pengetua
sebagai pemimpin sebaiknya melakukan perubahan melalui penglibatan dan
perkongsian kuasa dengan subordinatnya bukan secara autoriti.
Perubahan juga boleh melibatkan budaya
sekolah. Ia meliputi perubahan pola-pola aktiviti, interaksi, norma, nilai
sikap dan perasaan yang wujud di sekolah. Dalam proses perubahan budaya ini
Pengetua haruslah mengenalpasti apa budaya yang tidak diperlukan dan apa budaya
yang patut dikekalkan. Ini penting kerana jika tersalah pilih ia akan
menimbulkan tentangan dan tidak diterima oleh guru-guru dan kakitangan sekolah.
( Jaafar Muhamad, 1999)
Rumusan
Jelas bahawa perubahan dalam sesebuah
organisasi termasuk institusi pendidikan amat penting untuk dilaksanakan. Ini kerana tanpa perubahan, sesebuah
organisasi itu tidak akan mencapai kecemerlangan. Namun untuk melaksanakan
perubahan bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan pertimbangan dan
penglibatan semua pihak supaya perubahan tersebut dapat dilaksanakan secara
berkesan. Sebagai bakal pemimpin sekolah dan agen perubahan yang utama, saya
perlu memahami dan menganalisis terlebih dahulu apa perubahan yang hendak
dilaksanakan, tujuan, matlamat, bagaimana, bila dan siapa yang akan
melaksanakan perubahan tersebut. Oleh itu,
saya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai asas teori dan model
perubahan untuk dijadikan panduan. Ini penting supaya perubahan yang
dilaksanakan itu boleh meningkatkan pencapaian organisasi dan pada masa yang
sama ia boleh diterima oleh kakitangan tanpa menimbulkan pelbagai halangan.
No comments:
Post a Comment