Thursday, April 25, 2013

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025




Pada Oktober 2011, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu. Kerajaan telah mengambil keputusan melaksanakan kajian semula sistem pendidikan berdasarkan standard pendidikan antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara, dan harapan ibu bapa serta masyarakat terhadap dasar pendidikan negara dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21.

Dalam tempoh 11 bulan pelaksanaan kajian, Kementerian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Sebanyak 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah :

  1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
  2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
  3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
  4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
  5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
  6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
  7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
  8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.
  9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
  10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
  11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.


Proses transformasi sistem pendidikan akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun di mana:
  1. Gelombang 1 (2012-2015) menumpukan kepada usaha memperbaiki sistem dengan memberi sokongan guru dan tumpuan kepada kemahiran asas.
  2. Gelombang 2 (2016-2020) mempercepatkan penambahbaikan sistem.
  3. Gelombang 3 (2021-2025) ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel.


Pelan ini turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

No comments: