Thursday, April 25, 2013

Aplikasi Model Sekolah Berkesan

Picture of Dr. Zuraidah Binti Abdullah ." Berikan refleksi pembelajaran anda pada 23 Mac 2013. Berikan model sekolah berkesan yang boleh diaplikasikan di sekolah anda. Sila beri latar belakang sekolah anda sebelum menghuraikan model yang anda pilih."


Respon saya:



Latar belakang Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kuantan





KKTM Kuantan adalah direncanakan dibawah Rancangan Malaysia Ke-7 dan mula dibina pada 23 September 2003. Tempoh pembinaan mengambil masa selama lima tahun dan siap diduduki pada bulan Mei 2008. Keluasan tapak adalah seluas 100 ekar dimana keluasan pembinaan Fasa 1 seluas 75 ekar dan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM 58,257,418.98 (harga kontrak). 

KKTM Kuantan adalah merupakan KKTM yang pertama menjalankan kursus Diploma Kejuruteraan dan merupakan KKTM yang ke -4 dibina oleh MARA di seluruh Malaysia. Kakitangan pertama yang melapor diri di KKTM Kuantan pada 9 Mei 2008 ialah En . Hambali bin Ahmad selaku Pengarah di KKTM Kuantan dan diikuti oleh 18 pengajar teknikal gred J41 pada 12 Mei 2008. Pengambilan pelajar pertama adalah pada 14 Julai 2008 seramai 53 orang pelajar dengan 5 kursus yang ditawarkan.


                     




Model- model  Sekolah Berkesan dan Penambahbaikan Sekolah


Cheng (1996a, 1996b) dalam Zulkifli Abdul Manaf (1999),menyatakan terdapat lapan model sekolah berkesan yang sering digunakan. Model-model yang disenaraikan tersebut adalah :


  • Model Bermatlamat

Model ini sering digunakan untuk menilai pencapaian sekolah atau mengkaji sekolahberkesan. Model ini mengandaikan matlamat yang hendak dicapai perlu jelas dan dipersetujui oleh warga sekolah. Sekolah dikatakan sebagai berkesan apabila matlamat sekolah tercapai. Indikator dalam mengukur sekolah berkesan selalunya terdapat dalam objektif program atau perancangan sekolah. Walaupun terdapat pelbagai matlamat yang hendak dicapai tetapi menurut Cheng (1996), pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam sering digunakan sebagai kayu pengukur kepada sekolah berkesan.


  • Model ‘Input’ Resos
Teori dalam model ini pula menekankan kepada kecukupan resos dalam menghasilkan sekolah berkesan. Indikator yang digunakan untuk mengukur sekolah berkesan adalah seperti kemasukan pelajar yang berkualiti, kemudahan yang disediakan, resos yang mencukupi, peruntukkan kewangan daripada kerajaan pusat, pembentukan alumni, penglibatan ibu bapa dan badan-badan penaja. Walaubagaimanapun, kelemahan yang didapati ialah sekolah mungkin terlalu asyik dengan ‘input’ sehingga mengabaikan 'throughput’ dan ‘output’ sekolah. Pembaziran ‘input’ juga boleh berlaku jika tidak diurus dan digunakan secara bijak oleh sekolah.


  •  Model Proses

Melalui model ini,‘input’ sekolah diubah kepada ‘output’ atau pencapaian sekolah selepas melalui proses transformasi. Dalam bidang pendidikan, kualiti sesuatu proses banyak mempengaruhi dan menentukan kualiti ‘output’ 
yang dihasilkan.Model proses mencadangkan bahawa jika fungsi dalaman sekolah adalah lancar dan kondusif maka sekolah dikatakan berkesan. Oleh sebab itu aktiviti dan amalan (proses) yang dilakukan di sekolah merupakan ciri penting dalam menentukan sekolah berkesan. Indikator kepada sekolah berkesan bagi model proses ini pada umumnya adalah seperti proses pengurusan, proses pengajaran dan proses pembelajaran dan khususnya seperti kepemimpinan, komunikasi, penglibatan, koordinasi, penyesuaian, perancangan, membuat keputusan, interaksi sosial, iklim sekolah, kaedah mengajar, pengurusan kelas dan strategi pembelajaran. Walaubagaimanapun menurut Cameron (1978), model proses ini mempunyai kelemahan daripada segi pemantauan dan mengumpul data yang berkaitan serta pemfokusan kepada penghayatan maksud proses yang sebenar.

  • Model Kepuasan

Konsep sekolah berkesan adalah berbeza-beza mengikut perspektif pihak-pihak tertentu. Jika matlamat sekolah tinggi dan pelbagai, sekolah akan menghadapi kesukaran untuk mencapainya. Sebaliknya jika matlamat sekolah rendah dan munasabah, sekolah mungkin dapat mencapainya dan sekaligus memuaskan pihak-pihak berkepentingan. Menurut Cheng (1996), model kepuasan mendefinisikan sekolah hanya didapati berkesan jika pihak-pihak yang terlibat berpuas hati dengan pencapaian yang telah dicapai oleh sekolah. Indikator kepada keberkesanan diukur melalui tahap kepuasan pelajar, guru-guru, ibu bapa, pentadbir, pihak berkuasa pendidikan, ahli pengurusan sekolah, alumni dan sebagainya.


  • Model Kesahan

Menurut Cheng (1996), sekolah-sekolah di barat perlu bersaing untuk mendapatkan resos dan mengatasi halangan dalaman di samping menghadapi cabaran luaran,menuntut akauntabiliti dan ‘value for money’. Untuk sesebuah sekolah beroperasi iaperlulah membuktikan akauntabiliti, memuaskan kehendak komuniti dan mendapatkan sokongan daripada pihak-pihak berkepentingan. Menurut model kesahan ini, sesebuah sekolah adalah berkesan jika sekolah itu boleh terus beroperasi hasil daripada kesahan atau aktiviti pemasaran yang baik. Indikator yang digunakan untuk mengukur keberkesanan adalah aktiviti dan pencapaian dalam perhubungan awam dan pemasaran, akauntabiliti, imej sekolah, reputasi dan status dalam komuniti.

  • Model Organisasi Pembelajaran
Kesan kepada perubahan yang berlaku dan halangan-halangan dalaman kadang-kala tidak dapat dielakkan, maka dengan itu sesebuah sekolah adalah dianggap berkesan jika ia dapat menambahbaik dan mengadaptasi kepada persekitaran yang berubah. Model ini sangat berguna bagi sekolah-sekolah yang sedang mengalami pembangunan atau terlibat dalam reformasi pendidikan. Indikator kepada sekolah berkesan adalah kesedaran kepada keperluan dan perubahan komuniti, proses pemantauan dalaman, program penilaian, analisis persekitaran, dan perancangan pembangunan. Model organanisasi pembelajaran dapat memberi cadangan kepada cara memaksimakan keberkesanan bagi matlamat sekolah yang pelbagai.

  • Model Ketidakberkesanan
Menurut Cameron (1984) dalam Cheng (1996), perubahan dan perkembangan organisasi adalah dirangsang oleh permasalahan dan bukannya pencapaian. Maka dengan itu Cameron mencadangkan pendekatan kepada mentaksir ketidakberkesanan organisasi dapat memperkembangkan kefahaman konstruk organisasi berkesan. Model ketidakberkesanan mendefinisikan sekolah berkesan dari sudut pandangan negatif dan sekolah pada asasnya hanya berkesan jika tiadaterdapat ketidakberkesanan dalam sesebuah sekolah. Antara indikator ketidakberkesanan adalah seperti wujudnya konflik, masalah, kesukaran, kecacatan,kelemahan dan pencapaian lemah.

  • Model Pengurusan Kualiti Keseluruhan
Menurut Bradley (1993), Cuttance (1994), Greenwood dan Gaunt (1994), Murgatroyd dan Colin (1993) dalam Cheng (1996), konsep dan amalan pengurusan kualiti keseluruhan di sekolah merupakan ‘senjata’ utama untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan meningkatkan sekolah berkesan. Elemen-elemen penting yang diperlukan dalam model ini adalah seperti pihak-pihak berkepentingan, fokus, proses penambahbaikan yang berterusan, dan penglibatan menyeluruh dan‘empowerment’ ahli sekolah. Menurut model ini, sekolah adalah berkesan jika ianya boleh terlibat dalam ‘empower’ semua ahli untuk menjalankan fungsi sekolah, menyelaraskan penambahbaikan berterusan dalam beberapa aspek proses sekolah, dan memuaskan kehendak, keperluan dan jangkaan dalaman dan luaran pihak-pihak berkepentingan walaupun dalam persekitaran yang berubah. Model ini juga merupakan integrasi daripada model organisasi pembelajaran, model kepuasan dan model proses. Indikator kepada penilaian keberkesanan adalah kepemimpinan, pengurusan sumber manusia, pengurusan proses, maklumat dan analisis,perancangan strategik kualiti, kepuasan pihak-pihak yang berkepentingan,pencapaian operasi, pencapaian akademik pelajar, dan kesan kepada masyarakat.




Setiap satu daripada lapan model yang disenaraikan di atas mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Model-model yang dipilih untuk digunakan dalam menguji sekolah berkesan, perlu mengambil kira keadaan, situasi dan masa kajian dijalankan


Peralihan Konsep Sekolah Berkesan kepada Konsep Penambahbaikan Sekolah


Gerakan sekolah berkesan ini berkembang dengan menjadi proses penambahbaikan sekolah bermula dengan pandangan Van Velzen, et al. (1985) yang menyatakan bahawa sekolah itu dikira berkesan seandainya terdapat dokongan usaha yang sistematik danberterusan menuju perubahan keadaan pembelajaran serta lain-lain perkaitan dalaman keadaan dengan sasaran untuk menyempurnakan matlamat pendidikan yang lebih berkesan . Pandangan beliau ini telah diterima secara meluas sebagai definisi awal penambahbaikan sekolah. Hopkin et. Al (1996) pula secara ringkas dan padat menakrifkan penambahbaikan sekolah 

i)sebagai ikhtiar umum menyediakan tempat belajar untuk pelajar 
ii) sebagai strategi perubahan pendidikan dalam usaha ke arah hasilan pelajar sejajar dengan tindakan mengukuhkan kapasiti sekolah dalam mengurus perubahan.

Seterusnya Stoll dan Fink (1996) membangunkan definisi tersebut dengan lebih terperinci.Takrifan sekolah berkesan telah dihalusi sebagai meningkatkan hasilan pelajar melalui jujukan proses perkaitan dalaman. Menurut Stoll dan Fink, corak penambahbaikan sekolah mestilah mempunyai ciri-ciri
  • berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran,
  • membina kapasiti yang boleh mencetuskan perubahan tanpa menghiraukansumbernya,
  • menentukan sendiri halatuju,
  • menaksir budaya dan kerja semasa untuk mengembangkan norma dan adab positif,
  • mempunyai strategi untuk mencapai matlamat
  • menyenaraikan butiran keadaan dalaman yang boleh meningkatkan perubahan
  • mempertahankan momentum semasa waktu berlakunya pergolakan
  • memantau dan menilai proses, progress pencapaian dan perkembangannya.

Hussein Mahmod (1997) menyatakan terdapat beberapa model penambahbaikan sekolah yang digunakan untuk kecemerlangan. Model-model tersebut ialah



  1. Model Hubungan (Linkage Model) Perubahan Terancang


Pendekatan utama model ini adalah ’mengubah amalan yang wujud’ di sekolah,yang didapati tidak produktif atau tidak berkesan bagi mencapai visi atau matlamat sekolah. Usaha yang dijalankan mengikut model ini bertujuan untuk memulihkan the dyfunctions of the school organization termasuklah gaya kepimpinan pengetua,perhubungan manusia dalam sekolah dan pengajaran guru.



Perubahan terancang ini menekankan kepada sebarang usaha pengupayaan melalui Peringkat Matlamat, Peringkat Penilaian, Peringkat Perancangan, Peringkat Latihan Staf, Peringkat Percubaan, Peringkat Transformasi dan Peringkat Budaya Baru.



2. Model Pembangunan Iklim Sekolah ke arah Peningkatan Disiplin


Model ini merupakan pengubahsuaian Model Hubungan Perubahan Terancang, digunakan oleh Unit Disiplin, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan dalam tahun awal 1980-an. Model ini menekankan perlaksanaan yang berfokuskan kepada Tujuan Program, Konsep Program, Asas Kepercayaan Program, Strategi Program dan Objektif Program



Sorotan Kajian-Kajian Berkaitan



  • Characteristics of effective rural secondary schools in Malaysia

Abdul Karim Mohd Nor (1989) menyatakan terdapat dua belas faktor yangmembezakan ciri-ciri sekolah berkesan bandar dengan sekolah kurang berkesan diluar bandar meliputi :

  1. kemahiran kepemimpinan pengetua
  2. persepsi peranan pengetua
  3. pengalaman sebagai pengetua
  4. strategi pembangunan sekolah
  5. penglibatan ibu bapa
  6. jangkaan guru terhadap pelajar
  7. sikap guru terhadap pelajar
  8. disiplin pelajar
  9. penggunaan sumber sekolah
  10. kepuasan guru dengan pelajar
  11. persepsi guru terhadap mandat dan arahan kerajaan


  • Pengajaran guru yang berkesan (Instructional Effectiveness) Model Slavin :Satu Kajian Di sekolah Berkesan di Malaysia

Shahril @ Charil Marzuki dalam kajian yang bertajuk Pengajaran guru yang berkesan (Instructional Effectiveness) Model Slavin : Satu Kajian Di sekolah Berkesan di Malaysia yang telah dijalankan ke atas 238 orang guru daripada 4 jenis sekolah rendah iaitu SK, SRK, SJKC, SJKT mendapati empat unsur yang utama dalam memastikan keberkesanan pengajaran guru ialah :





  1. Kualiti pengajaran – guru yang berkesan akan membuat perancangan bagi setiapsubjek yang hendak diajar dengan menyediakan buku rekod,ABM dan latihanyang hendak diberikan. Isi pengajaran mestilah dikaitkan dengan kehidupanseharian murid, isi penyampaian yang ringkas dan mudah difahami,menggunakan kaedah pengajaran yang pelbagai dan sentiasa membuat penilaian sumatif dan formatif.
  2. Kesesuaian aras pengajaran – guru mesti tahu tahap kecerdasan murid dan boleh menyesuaikan diri dengan semua tahap murid. Murid akan diajar secara berkumpulan mengikut kesesuaian topik.
  3. Insentif – guru yang berkesan akan sentiasa memberikan motivasi dan insentifkepada murid yang rajin dan baik. Ini akan menambahkan minat murid untuk belajar. Disamping ganjaran kepada murid guru juga boleh mengenakandendaan kepada murid yang tidak cemerlang agar mereka lebih rajin dan teliti dan membuat tugasan.
  4. Masa – penggunaan masa yang maksima didalam kelas untuk mengajar,membuat latihan dan membuat penbetulan hasil kerja murid.Kajian yang dijalankan juga mendapati tiada perbezaan gaya pengajaran guru lelaki dan perempuan dan guru yang berpengalaman 10 tahun mengajar dan kurang 10 tahun.

Refleksi Pembelajaran

Pendedahan kepada semua model -model penambahbaikan mendorong saya membuat kesimpulan bahwa apa yang penting adalah kesan aplikasi model tersebut terhadap pelajar.  Tiada satu model yang boleh digunapakai secara esklusif bagi menyelesaikan masalah atau menjamin keberkesanan semua sekolah di Malaysia, sebagai contoh.  Disini pengetua perlu memainkan peranan dalam menyesuaikan model-model yang sedia ada dan menghasilkan model yang sesuai mengikut kekangan dan keperluan pusat masing-masing.

Jika saya perlu memilih satu model yang ingin diaplikasikan di kolej saya bagi proses penambahbaikan berterusan, model pertama adalah Model Slavin yang menjurus kepada keberkesanan pengajaran guru. 


Saya percaya pelaksanaan model ini di kolej saya amat bertepatan sekali dalam usaha kolej bagi melaksanakan Program Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang berkualiti serta diiktiraf ke arah menyediakan kerjaya berpendapatan tinggi bagi graduan kami. Pengajaran yang berkesan akan menjamin keberkesanan sesebuah institusi pendidikan itu untuk melahirkan pelajar yang cemerlang. Suka saya untuk memetik kata-kata Harris (2002) berkenaan penambahbaikan sekolah:

"At the centre of school improvement is a concern to improve the quality of teaching and learning in classroom."

No comments: