Ulasan Artikel 01


Peranan Kepimpinan Guru dalam mempengaruhi iklim bilik darjah

Rahmad Shukor Ab. Samad dan Shahrir Jamaluddin
Journal Masalah Pendidikan 2005, UM.

Ulasan Artikel

Artikel yang ditulis oleh Rahmad Sukor Ab. Samad dan Shahrir Jamaludin daripada Universiti Malaya ini adalah berkenaan peranan guru sebagai pemimpin pengajaran dalam mempengaruhi iklim bilik darjah. Penyelidik menyatakan kajian ini penting kerana 1) tidak banyak kajian yang dibuat berkaitan kepimpinan guru di dalam bilik darjah, berbanding artikel berkaitan peranan dan kepimpinan Guru Besar dan Pengetua di sekolah. 2) kepimpinan bilik darjah adalah satu unit daripada systemic change yang melanda yang akan mempengaruhi keseluruhan keberkesanan sesebuah sekolah. Perbezaan dalam pencapaian pelajar dalam sekolah juga dipengaruhi oleh perbezaan yang ketara dalam diri guru-guru yang menyumbang kepada kecemerlangan sesebuah sekolah.


Artikel ini membincangkan ketidaktepatan persepsi guru mengenai kepimpinan bilik darjah. Guru beranggapan bahawa kepimpinan hanya terletak di bahu Guru Besar dan Pengetua, sedangkan gurulah sebenarnya berperanan sebagai pemimpin pengajaran manakala pentadbir sebagai penyelaras sahaja. Guru tidak mengutamakan kepimpinan bilik darjah, hanya mengutamakan pengurusan bilik darjah sahaja, iaitu pengurusan pengajaran dan pembelajaran dan sedikit pengurusan kelas dalam hal-hal berkaitan kebersihan dan disiplin bilik darjah. Penulis mengatakan perkara ini mungkin disebabkan oleh program latihan guru lebih berfokus dan menekankan kepada amalan didalam pengurusan bilik darjah.

Banyak contoh tentang maksud kepimpinan mengikut orientalis dan pemikir barat juga disertakan. Pentadbir juga dilihat berperanan dalam memberi arahan, sumber dan sokongan kepada guru dan pelajar bagimemperbaiki pengajaran dan pembelajaran di sekolah, secara tidak langsung menyerlahkan peranan guru sebagai pemimpin pengajaran. Seterusnya kepimpinan itu sendiri mempunyai hubungan secara langsung dengan proses-proses pengajaran di mana guru, pelajar dan kurikulum saling berinteraksi. Kepimpinan pengajaran guru inilah akhirnya bertindak sebagai pemangkin pembelajaran pelajar-pelajar.

Contoh-contoh kesan wujudnya kepimpinan guru dalam bilik darjah juga dijelaskan di dalam artikel ini, antaranya ialah :
  • Pelajar mencapai apa yang tidak dijangka dicapai dalam bilik darjah (kemahiran selain akademik),
  • Pertumbuhan personaliti pelajar (tingkahlaku, perwatakan dan sikap),
  • Pelajar mematuhi arahan (disiplin), dan
  • Pelajar sentiasa memerlukan panduan dan menjadikan guru sebagai teladan (kepimpinan melalui teladan)

Penurunan kuasa (empowerment) kepada pelajar juga adalah kesan kepimpinan berkesan di dalam bilik darjah. Dikatakan bahawa kepimpinan berkesan akan mewujudkan dua jenis pemimpin dalam bilik darjah iaitu ;
  1. Guru kelas atau guru subjek, dan
  2. Pelajar yang diberi kuasa memimpin di dalam kelas tersebut.
Seterusnya artikel ini juga menyarankan pendapat Hook & Vass (2000) bahawa kepimpinan berkesan oleh guru-guru hendaklah mempunyai kemahiran-kemahiran berikut :
  1. Boleh mengembangkan keupayaan memahami dan mempunyai visi,
  2. Kemahiran menghasilkan hubungan berkesan,
  3. Memahami tingkah laku dan keinginan pelajarnya,
  4. Memahami bilik darjah sebagai satu sistem, dan
  5. Kebolehan menyelesai dan menganalisis maklumat.

Di samping kemahiran yang dijelaskan di atas, artikel ini turut menyelitkan pandangan Shippen & Shippen (2004), tentang tujuh ciri kepimpinan berkesan seorang guru :
  1. Boleh membentuk dan menyampaikan visi di bilik darjah,
  2. Boleh memimpin, fleksibel dan bersikap terbuka terhadap pelajarnya
  3. Boleh memimpin dan menjadi teladan pelajarnya,
  4. Bijak membuat keputusan tanpa menjejaskan dasar sekolah,
  5. Tidak pentingkan diri sendiri tetapi mementingkan pelajarnya,
  6. Boleh membuat pertimbangan yang seimbang dan membina hubungan positif antara guru dengan pelajar, dan
  7. Mengamalkan pembelajaran berterusan sebagai guru.


Faktor-faktor yang mempengaruhi iklim bilik darjah juga diterangkan di dalam artikel ini, bagaimana bilik darjah yang efektif itu sendiri seperti suasana harmoni, hubungan interpersonal antara guru-pelajar, keselamatan yang terjamin, keselesaan (kemudahan fizikal) serta kebersihan bilik darjah apabila diadun dengan agenda bilik darjah iaitu pematuhan kepada hak setiap anggota atau ahli, kebertanggungjawaban ahli, mematuhi peraturan dan rutin harian akan dapat mencapai kepimpinan bilik darjah yang berkesan.

Pada akhirnya artikel ini juga menjelaskan akan cabaran dan kekangan bagi mencapai hasrat membudayakan kepimpinan guru dalam mempengaruhiiklim bilik darjah di Malaysia. Antaranya ialah masalah kekurangan guru,opsyen yang tidak sesuai, saiz kelas dan lain-lain lagi. Dan adakah konsep kepimpinan bilik darjah ini perlu disebarluaskan kepada semua guru, kerana tidak semua guru mempunyai kemahiran dan ciri kepimpinan bilik darjah seperti yang dihuraikan di dalam artikel ini.

Kritikan Artikel

Artikel ini adalah satu kajian dan pandangan yang amat menarik tentang konsep kepimpinan guru dan pengaruhnya kepada iklim bilik darjah. Isu yang dibincangkan sangat menyeluruh dan pelbagai aspek telah disentuh dan dibincangkan dengan baik dan berkesan. Ia jelas membincangkan tentang bilik darjah sebagai satu entiti kecil di sekolah yang sebenarnya merupakan penyebab berjaya atau tidaknya sekolah tersebut dalam mencapai matlamat dan dasar yang ditentukan (visi dan misi). Kegagalan pelajar di bilik darjah amnya dan kegagalan guru sebagai agen kepimpinan khasnya akan mempengaruhi pencapaian atau kejayaan sekolah sebagai satu organisasi. Jelas disini bahawa guru juga berperanan sebagai pentadbir dan pengurus di sekolah.

Tidak keterlaluan jika saya melabel guru sebagai ‘model hidup’ dimana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada pelajar. Nilai –nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di dalam bilik darjah secara tidak langsung akan diterapkan dalam jiwa pelajar. Oleh itu, guru memikul tanggungjawab yang besar bagi mewujudkan suasana iklim bilik darjah yang kondusif bukan sahaja untuk menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran secara berkesan kepada pelajar, juga sebagai platform bagi pelajar untuk ‘mendewasakan’ diri mereka secara fizikal dan mental.  Sikap positif dan berekspektasi tinggi yang dipaparkan oleh seorang guru akan membawa kepada kecemerlangan pelajar. Cara kepimpinan guru yang demokratik yang menekankan kerjasama, berinisiatif dan penggunaan pujian juga mampu membimbing pelajar ke arah nilai positif.

Kepemimpinan seorang guru turut dipandang dalam sudut pandangan islam. Menurut perspektif islam, kepimpinan adalah amanah yang wajib ditunaikan. Pemimpin pula ialah orang memandu dan mengajak orang lain ke arah kebahagiaan, mendapat keredhaan Allah, membuat segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Seorang pemimpin seharusnya beriman kepada Tuhan dan mempunyai kepercayaan dan kepatuhan kepada agama. Tidak kiralah sama ada guru tersebut beragama Islam, Kristian, Hindu ataupun Buddha, kepercayaan ini penting bagi memastikan mereka mempunyai pegangan dan dasar kepercayaan yang utuh. Bertitik tolak kepada kepercayaan kepada agama ini lah yang akan mencernakan peribadi terpuji selaras dengan tuntutan agama.  Manakala konsep etika dan amalan keagamaan seharusnya memberi kekuatan jati diri kepada para guru yakni pemimpin di dalam memimpin sesebuah organisasi terutamanya memacu kecemerlangan pendidikan di sekolah.

Dalam konsep kepimpinan guru dan budaya sekolah, guru merupakan pemimpin yang berperanan sebagai agen perubahan. Perubahan yang dimaksudkan adalah melibatkan perubahan ke atas sekolah dan pengajaran dalam bilik darjah. Guru juga adalah individu yang menggariskan hala tuju dan membentuk pelajar ke arah merealisasikannya dengan nilai-nilai kepimpinan yang positif. Guru sebagai pengajar perlu berusaha untuk memahamkan pelajar berkaitan konsep dengan mudah, sistematik, seronok dan bermakna. Di samping itu, guru turut sama berperanan sebagai individu yang menjadi jambatan rujukan pengetahuan dan maklumat para pelajar. Justeru, guru perlulah melonjakkan kepimpinannya dengan sentiasa bersedia dan boleh menyesuaikan diri dengan keadaan iaitu mempamerkan corak atau gelagat kepimpinan yang sesuai. Contohnya, dalam zaman globalisasi pendidikan yang mencabar ini, rata-rata pelajar terlebih dahulu terdedah dan mahir dalam penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Maka, sebagai guru, kita perlu lah mengambil langkah yang lebih besar untuk mempelajari kemahiran TMK dan berada seiring dengan perkembangan budaya dan persekitaran pelajar.

Kecemerlangan sesebuah sekolah bergantung kepada pendekatan dan kesungguhan guru-guru di sekolah bekerjasama dalam mendukung hasrat misi dan visi sekolah. Kerjasama dalam kalangan guru bukan sahaja menyerlahkan profesionalisme keguruan malah turut menjulang kepimpinan guru. Seorang guru yang berkarisma dalam memimpin sesuatu organisasi juga berupaya untuk memupuk nilai kepimpinan dalam diri rakan sejawatannya dan seterusnya mewujudkan suasana yang fleksibel untuk sebarang bentuk kerjasama antara mereka. Berdasarkan kajian-kajian terdahulu, sekolah yang berjaya dan berkesan biasanya dibantu oleh penglibatan aktif guru-guru dalam tugas berkumpulan dan lazimnya wujud kerjasama harmoni dalam kalangan komuniti tersebut.

Konsep kepemimpinan guru ini juga turut meliputi ruang lingkup yang lebih luas dengan melibatkan masyarakat umum. Guru yang mengamalkan kepimpinan yang berkesan dapat menarik kepercayaan masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak sekolah. Ahli masyarakat yang dimaksudkan di sini adalah golongan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kepada kehidupan sosial pelajar. Guru yang berwibawa memiliki keupayaan untuk melibatkan ibu bapa dalam proses memberikan pendidikan formal kepada anak-anak mereka. Hubungan ibu bapa dan guru yang tidak hanya terbatas di atas meja mesyuarat PIBG akan membuka ruang kolaborasi yang lebih dinamik serta mengikis kebimbangan ibu bapa terhadap kreadibiliti guru dalam aspek pembentukan disiplin dan jati diri anak mereka.

Secara ringkasnya, guru boleh dianologikan sebagai kapten kapal yang sedang mengemudi sebuah kapal yang tidak ada penghujung pelayarannya tetapi yang ada cuma persinggahan untuk menurunkan penumpang. Jika baik pengemudiaanya maka penumpang (pelajar) akan dapat berlabuh dengan selamat.  Ibu bapa pula adalah bebaling yang menyokong dan memastikan kapal sampai ke destinasi yang hendak dituju sepertimana diharapkan. Analogi ini memberikan gambaran akan betapa pentingnya nilai kepimpinan seseorang guru yang juga digelar arkitek pembinaan insan dalam melaksanakan tugas yang tiada penghujungnya. Kepimpinan pendidikan di peringkat sekolah melibatkan satu set proses pengaruh yang kompleks dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan bagi memperbaiki kesannya kepada sekolah adalah melalui perubahan secara sukarela. Oleh itu, pengurus sekolah perlu bersikap proaktif dan memberi keutamaan yang khusus dalam memastikan kemenjadian guru sebagai pemimpin instruksional yang berkesan di bilik darjah bagi menjamin kemenjadian pelajar yang selanjutnya akan menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

No comments: