Ulasan Artikel 02


Amalan Kecemerlangan Sekolah dalam kalangan Dua jenis sekolah Berprestasi Tinggi di Malaysia

Muhammad Faizal A. Ghani
ATIKAN: Jurnal Kajian Pendidikan, Volume 2, Nomor 2, Desember 2012

Pengenalan

Pengkaji berpendapat bahwa kajian perbandingan mengenai keberkesanan pengurusan sekolah adalah amat penting. Ini adalah kerana penemuan kajian tersebut dapat mengenalpasti faktor penyumbang kepada keberkesanan sesebuah sekolah. Pengkaji juga berpendapat bahawa kajian perbandingan di antara sekolah yang berlainan aliran juga perlu dilakukan kerana masih terdapat beberapa faktor penyumbang kepada keberkesanan sekolah berupaya untuk dijadikan panduan bagi mengurus sekolah. Pengkaji memetik pandangan F. Ramirez dan J. Meyer ( 2001) bahwa penemuan kajian di konteks yang lain perlu dikenalpasti kesesuaiannya untuk dilaksanakan di tempat sendiri. Ini kerana sesebuah tempat itu memiliki keperluan dan kemampuan yang berbeza. (Harris, 2002).  Atas dasar ini, pengkaji membuat keputusan untuk menjalankan kajian perbandingan amalan sekolah cemerlang di antara dua buah sekolah berprestasi tinggi yang berbeza ‘aliran’ ; sebuah sekolah ialah aliran agama, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sebuah lagi adalah  Sekolah Berasrama Penuh (SBP).  Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti perbezaan amalan sekolah cemerlang antara SBP (Sekolah Berasrama Penuh) dengan SMKA (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama) di Malaysia. Pengkaji ingin (1) mengenal pasti sekiranya wujud perbezaan yang signifikan antara SBP dengan SMKA dalam aspek amalan sekolah cemerlang; dan (2) mengenal pasti sekiranya wujud perbezaan yang signifikan antara SBP dengan SMKA dalam aspek kepimpinan sekolah.

Ulasan Kajian

“Tunjukkan saya sekolah cemerlang dan saya akan tunjukkan anda seorang pengetua yang cemerlang.”
D.M. Quinn (2002)

 Kajian ini menggunakan kerangka teori Model Keberkesanan dan Penambahbaikan Sekolah yang mengambil kira konteks tempatan yang dikemukakan oleh pengkaji yang sama pada tahun 2008.  Kerangka tersebut memaparkan beberapa pembolehubah utama, iaitu pembolehubah input, proses, konteks, hasilan sementara, dan outcome. Pembolehubah input melibatkan pembolehubah yang memiliki tahap keberkesanan yang tinggi. Pembolehubah tersebut telah diproses menerusi aktiviti yang dilaksanakan secara serentak. Ketika aktiviti pemprosesan tersebut dilaksanakan, faktor persekitaran luar yang melibatkan pembolehubah konteks amat mempengaruhi hasilan yang diperolehi. Sekiranya pembolehubah proses tidak dilaksanakan secara serentak, maka pihak sekolah gagal untuk membentuk semula budaya dan struktur organisasi. Keadaan tersebut berlaku di pembolehubah hasilan pertengahan yang bersifat sementara dan bertindak sebagai proses kawalan. Justeru, pihak sekolah perlu melaksanakan semula amalan sekolah cemerlang bagi memperolehi outcome, iaitu kemenjadian murid.

Artikel ini juga membincangkan pelbagai konsep sekolah cemerlang yang dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji berdasarkan apa yang mereka kehendaki.  Di Malaysia, sebagai contoh, konsep sekolah cemerlang merujuk kepada pembolehubah hasilan. Sekolah cemerlang digambarkan dengan pelbagai pengiktirafan dalam bentuk anugerah, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Misalnya, Anugerah Sekolah Harapan Negara (KPM, 1997). Menurut Abdul Shukor Abdullah (1995) dan Ibrahim Md Nor (1998), penganugerahan tersebut adalah berdasarkan pencapaian yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.  Namun, perspektif sekolah cemerlang telah berubah kepada sains organisasi pada pertengahan tahun 1970-an. Hal tersebut disebabkan masyarakat telah mula mengenali konsep pengurusan. Mereka mengaitkan definisi “sekolah cemerlang” dengan hubungan sesama manusia dalam sesebuah organisasi yang melibatkan aspek berikut, iaitu: (1) kepuasan dalam bekerja perlu bagi setiap warga organisasi; (2) pihak pentadbiran organisasi mementingkan perkembangan profesionalisme staf; dan (3) penglibatan bersama dalam proses membuat keputusan (Scheerens, 1992 dan 2005).

Satu fakta yang menarik perhatian saya ialah dimana pengkaji menyertakan pandangan Islam berkenaan pengurusan sekolah yang berkesan. Islam menggalakkan umatnya supaya bekerja dalam satu pasukan bagi menghasilkan dapatan yang lebih cekap dan berkesan berbanding bekerja secara bersendirian. Malah, Rasulullah pernah bersabda, menerusi riwayat At-Turmuzi, bahawa tangan Allah  (pertolongan Allah) beserta dengan kumpulan. Kesimpulannya, Islam menitikberatkan kerja dalam satu pasukan yang melibatkan setiap warga sekolah dan pihak berkepentingan pendidikan. Tanggung jawab tersebut perlu dilaksanakan secara amanah, syura, dan adil bagi mencapai matlamat untuk kepentingan agama, masyarakat, dan negara.

Kaedah Kajian

Pengkaji menggunakan kaedah kajian tinjauan untuk mengumpul data dari kalangan guru di sekolah tersebut. Pemilihan peserta kajian adalah secara rawak dan berbentuk persampelan bertujuan (purposive sampling) dalam kalangan guru sekolah cemerlang di Malaysia.  Seramai 360 guru terlibat dalam kajian ini, 180 guru SBP ( 120 guru perempuan dan 60 guru lelaki) dan 180 guru SMKA (110 guru perempuan dan 70 guru lelaki).  Kajian ini mengguna-pakai instrumen soal selidik yang telah dibentuk oleh Muhammad Faizal A. Ghani (2008). Instrumen kajian tersebut yang telah dibentuk dengan mengambil kira konteks tempatan ini  mengandungi tiga bahagian, iaitu: (1) Bahagian I mengenai profil sekolah yang mempunyai dua item; (2) Lima item mengenai profil peserta kajian atau bahagian II; dan (3) Seratus tiga puluh lapan item mengenai amalan sekolah cemerlang. Kesahan kandungan bagi instrumen ini telah dicapai menerusi kajian Delphi sebanyak empat sesi pusingan. Manakala kebolehpercayaan instrumen tersebut berdasarkan skor Alfa sejumlah 0.932. Data soal selidik di analisis menggunakan program SPSS (Statistical Package for the Social Sciences) versi 16.0 melibatkan kaedah statistik deskriptif dan inferensi.

Dapatan Kajian

Kajian ini menemui wujud perbezaan yang signifikan antara SBP dengan SMKA dalam mempraktikkan amalan sekolah cemerlang berikut, iaitu kepimpinan pengetua dan persekitaran sekolah yang kondusif. Malah, amalan tersebut lebih dipraktikkan oleh warga SBP berbanding SMKA.

Kajian tersebut juga mendapati bahawa terdapat jurang komunikasi antara pengetua dengan warga sekolah, khasnya guru. SMKA juga kurang memiliki persekitaran sekolah yang kondusif berbanding SBP. Keadaan sebaliknya bagi SBP yang lebih mempraktikkan kepimpinan pengetua secara cekap dan berkesan. Begitu juga dengan amalan sekolah cemerlang lain yang menunjukkan tiada terdapat perbezaan perlaksanaannya antara SBP dan SMKA. Amalan tersebut adalah 1) staf akademik mengamalkan stail kepimpinan guru; 2) guru berusaha untuk melaksanakan kurikulum dengan cekap dan berkesan; 3) pihak sekolah melaksanakan amalan pengharapan secara menyeluruh; 4) pihak sekolah mengambil kira pembolehubah proses ketika melaksanakan pengharapan tinggi; 5) pihak sekolah berusaha untuk mewujudkan suasana yang mencabar minda murid; 6) usaha pihak sekolah untuk menilai pencapaian murid; 7) usaha pihak sekolah untuk menilai pencapaian sekolah; 8) usaha pihak sekolah untuk mewujudkan hubungan yang erat dengan pihak ibu bapa; dan 9) usaha sekolah untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat. Implikasinya, pengurusan sekolah oleh kepimpinan sekolah kurang menghadapi masalah dan berjalan lancar (KPM, 2006).  

Kajian ini juga mendapati tidak wujud perbezaan yang signifikan antara amalan gaya kepimpinan guru di SBP dan SMKA. Pengkaji menyatakan bahawa berdasarkan kajian terdahulu, aspek kepimpinan pengetua bukan merupakan faktor penyumbang utama kepada keberkesanan sekolah cemerlang. Hal tersebut disebabkan pembolehubah input bagi sekolah cemerlang adalah pembolehubah yang terbaik dan terpilih. Oleh itu, sekolah cemerlang kurang menghadapi masalah dalam aspek murid, guru, dan sekolah yang boleh menghalang keberkesanan pengetua untuk memimpin sekolah mereka. Pengetua sekolah berperanan sebagai orang tengah kepada penggubal dasar. (A. Harris (2002, 2003, dan 2004); Hussein Mahmood (2008); serta Muhammad Faizal A. Ghani et al. (2011) Peranan mereka untuk memastikan dasar tersebut dilaksanakan di sekolah secara cekap dan berkesan. Manakala, guru merupakan faktor penyumbang utama kepada kejayaan sesebuah sekolah disebabkan guru bertindak sebagai pelaksana kepada dasar tersebut. Guru mempunyai hubungan yang rapat dengan murid disebabkan sebahagian hidup guru berada di dalam bilik darjah dan berkomunikasi dengan murid (Katzenmeyer & Moller, 2001). Justeru, guru-guru peka dengan permasalahan murid dan mereka lebih mengetahui kaedah meningkatkan pencapaian murid.

Refleksi

Selesai membaca pelbagai definisi bagi konsep sekolah cemerlang yang diutarakan oleh pengkaji, saya tertarik untuk memikirkan definisi yang manakah sesuai untuk diaplikasikan di organisasi saya, yang mengutamakan penerapan nilai keusahawanan dan penghasilan graduan mahir dan separa mahir dalam bidang teknikal dan vokasional. Namun begitu, saya bersetuju dengan pendapat pengkaji yang walaupun masyarakat lebih menumpukan kepada institusi pendidikan yang berupaya menghasilkan kemenjadian murid, definisi kemenjadian itu adalah pelbagai dan mengikut apa yang dikehendaki oleh mereka. Oleh itu, sebagai sebuah institusi pendidikan, pelaksanaan amalan-amalan cemerlang perlu dilakukan secara sistemik bagi memenuhi keperluan dan pengharapan tinggi masyarakat yang menyakini bahawa sekolah cemerlang berupaya melahirkan modal insan untuk menepati kehendak pasaran. Malah, dalam tuntutan kepada perubahan, sekolah cemerlang berupaya menjadi alat untuk mengenal pasti bakat, mengajar, dan menilai keupayaan setiap murid.

Dalam usaha ke arah penambahbaikan yang berterusan, dapatan kajian ini amat membantu dan kritikal bagi sesebuah organisasi pendidikan seperti MARA contohnya agar perubahan dapat dilakukan dengan lebih terancang dan sistematik.  Menurut John Kenneth Galbraith (1967) pendidikan merupakan usaha sistematik yang disengajakan oleh sesebuah masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap, dan kemahiran kepada ahlinya. Oleh itu, usaha ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh boleh dilaksanakan melalui perubahan yang selektif dan kritikal. Perubahan ini boleh bermula daripada sistem pendidikan yang berkesan.  

Kesimpulan

Isu amalan sekolah cemerlang yang diperjelaskan di dalam artikel ini adalah satu isu yang amat menarik untuk dikaji dengan lebih mendalam. Jelas, pengkaji cuba menggambarkan bahawa jika bersandarkan hanya kepada kepimpinan pengetua sahaja, atau hanya kepada persekitaran yang kondusif sahaja, atau hanya kepada pelajar yang cemerlang sahaja, tidak akan menyumbang kepada keberkesanan atau kecemerlangan sesebuah sekolah itu secara berterusan. Pengkaji juga berpendapat bahawa perbezaan latar belakang pelajar dari segi aspek sosio ekonomi tidak menghalang sesebuah sekolah itu untuk berubah ke arah yang lebih cemerlang. Ini kerana perubahan itu berupaya dilaksanakan sekiranya kepimpinan sekolah berperanan secara cekap dan berkesan , dan pihak berkepentingan lain juga perlu memberikan sokongan untuk kejayaan sekolah. 

No comments: