Ulasan Artikel 03


Kerangka Komprehensif untuk penambahbaikan Sekolah Berkesan: Satu Kajian Eksploratori
Rusmini Ku Ahmad.
 Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan IAB, KPM. Julai 2007.


Ringkasan Artikel

Artikel yang ditulis oleh Dr. Rusmini bt Ku Ahmad ini membincangkan pembentukan kerangka komprehensif penambahbaikan sekolah berkesan. Kerangka ini dibentuk berdasarkan kepada teori-teori perancangan sinoptik, mekanisme pasaran, ‘cybernetics’ dan organisasi pembelajaran serta ‘autopoiesis’ dan analisis kajian-kajian jes keberkesanan sekolah di lapan buah negara kesatuan Eropah iaitu Belgium, England, Itali, Finland, Portugal, Greek, Belanda dan Sepanyol.

Kerangka yang dibincangkan mengambil kira konsep kontekstual seperti tekanan untuk melakukan penambahbaikan, keperluan sumber untuk penambahbaikan, dan matlamat pendidikan. Pada peringkat permulaan penambahbaikan, tekanan kepada perubahan merupakan faktor konteks yang utama. Walaubagaimanapun, pengkaji ada menyatakan bahwa tekanan mungkin memberi faedah atau masalah berdasarkan kemahiran dan kesediaan serta sokongan yang diterima oleh sesebuah sekolah itu. Pengkaji menyenaraikan empat faktor yang menggalakkan tekanan untuk perubahan iaitu mekanisme pasaran, penilaian pihak luar dan akauntabiliti, agen luar dan perubahan masyarakat dan penyertaan masyarakat dalam pendidikan. 

Sumber pula merupakan faktor konteks yang kedua kerana penambahbaikan sekolah boleh wujud dalam kekangan sumber bagi konteks tertentu. Sumber, mengikut pengertiaan pengkaji, bukan sahaja boleh didapati dalam bentuk material tetapi juga dalam bentuk sokongan. Faktor yang dikenalpasti sebagai konsep sumber ialah kuasa autonomi yang diberikan kepada sekolah, dan sumber kewangan dan persekitaran kerja guru serta sekolah. Dan akhirnya, hasil penambahbaikan sekolah harus selaras dengan matlamat pendidikan yang telah ditetapkan mengikut konteks masing-masing.

Pengkaji mengetengahkan tiga konsep yang merupakan kunci utama kepada  penambahbaikan sekolah berkesan iaitu budaya penambahbaikan, proses penambahbaikan dan hasil penambahbaikan. Budaya digambarkan sebagai latar belakang dan proses-proses yang berlaku di dalamnya serta hasil merupakan matlamat utama dalam proses tersebut.
   
Pengkaji menyatakan bahawa kerangka tersebut boleh digunakan dalam konteks pendidikan mengikut kesesuaian. Walaubagaimanapun, sekolah harus mentafsirkan faktor-faktor dalam kerangka tersebut mengikut situasi dan kesesuaian dengan keperluan masing-masing.

Ulasan Artikel

Saya tertarik dengan kenyataan pengkaji bahawa penambahbaikan perlu berfokus kepada proses perubahan dalaman (m/s 2). Untuk sesebuah organisasi melaksanakan perubahan dengan berkesan dan secara berterusan, saya berpendapat pengetua atau pengurus sekolah perlu bersikap proaktif dengan memastikan perubahan positif dalam diri staf dan pelajar perlu berlaku dari dalaman terlebih dahulu. Kesediaan staf dan pelajar untuk menerima dan memahami perubahan yang akan dilakukan perlu dititikberatkan. Ini perlu kerana staf dan pelajar yang "engaged” akan  terlibat sepenuhnya dan bersemangat tinggi tentang kerja mereka, dan dengan itu akan bertindak demi kemajuan dan kepentingan organisasi mereka. Oleh itu, pengetua atau pengurus sekolah perlu mengambil kira faktor employee engagement  atau penglibatan pekerja sebelum sesuatu perubahan dilakukan. (Schmidt et al. (1993).

Perbincangan pengkaji berkenaan tiga faktor yang berkaitan dengan konteks membuatkan saya berfikir tentang faktor-faktor berikut di kolej saya. Sebagai contoh, faktor tekanan ke arah penambahbaikan. Bagi kolej saya yang merupakan kolej kemahiran dan teknikal, kami bersaing dengan kolej-kolej kemahiran MARA yang lain, dan juga kolej-kolej komuniti serta politeknik bagi memastikan kolej kami menjadi pilihan ibubapa dan komuniti dalam bidang kejuruteraan pembuatan. Persaingan ini menyemarakkan lagi keperluan kolej untuk sentiasa melakukan penambahbaikan. Di antara perkara-perkara yang dilakukan bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar kami adalah tawaran sambung belajar di peringkat ijazah di universiti luar negara seperti Australia dan Germany bagi mereka yang berkelayakan, semakan kurikulum bagi memastikan keperluan industri dipenuhi.  Penilaian pihak luar seperti MQA dan juga Unit Naziran dan Kualiti, Bahagian Kemahiran Teknikal (BKT) juga menyumbang kepada keperluan untuk penambahbaikan. Maklum balas dan dapatan daripada penilai luar seperti pihak industri dan pakar akademik berkenaan kurikulum dan perjalanan program juga boleh mengenakan tekanan kepada kolej untuk melakukan perubahan. Begitu juga dengan pengaruh masyarakat di sekitar kolej saya.

Namun begitu, saya tidak nafikan bahawa perubahan polisi yang kerap menambahkan beban kerja para staf dan guru yang boleh menyebabkan penurunan produktiviti (m/s 11). Oleh itu, saya berpendapat bahawa perubahan tidak sepatutnya dilakukan secara penguatkuasaan yang wajib, ianya perlu dilakukan secara terancang dan berhemah. Saya percaya jika sesuatu perubahan itu dilakukan secara ‘berhemah’, hasil yang diperolehi adalah lebih memberangsangkan dan positif.

Kesimpulannya, perubahan dalam sesebuah organisasi terutamanya institusi pendidikan tidak dapat dielakkan. Ini kerana tiada apa yang kekal dan tidak berubah. Namun begitu, dalam konteks pendidikan, proses perubahan itu yang perlu dititikberatkan.  Ini kerana proses pembaikan adalah sesuatu proses berterusan dan tidak ada tahap penghabisannya. Yang penting adalah untuk memastikan bahawa arah perubahan itu sentiasa kepada yang lebih baik dan apa yang telah dicapai tetap kekal.Ini bermakna pengetua bukan sahaja perlu bertindak sebagai agen perubahan, tetapi berperanan sebagai ‘pemangkin’ dalam memastikan proses perubahan atau penambahbaikan itu berkesan dan berlaku secara sistemik.

No comments: