Friday, May 3, 2013

Keberkesanan Sekolah dari segi Perbelanjaan Pendidikan bagi seorang pelajar

Bagaimana anda dapat mengukur perbelanjaan yang telah diberikan oleh pihak Mara kepada pelajar2 MRSM? Adakah perbelanjaan yang diberikan itu telah dapat menghasilkan kualiti pendidikan yang tinggi kepada negara? 

Respon saya:

Walaupun soalan ini lebih ditujukan kepada mereka yang bertugas di MRSM, saya merasakan bahwa saya juga perlu mengambil tahu berkenaan perbelanjaan yang diberikan oleh pihak MARA bagi pelajar-pelajar saya yang mengikuti program diploma di Kolej Kemahiran Tinggi MARA dalam bidang teknikal dan kemahiran.

Berdasarkan hasil pembacaan ( Rahmah & Nanthakumar: 2007, Naziatul, Rahmah & Poo Bee Tin : 2012), apabila kita menyentuh tentang soal perbelanjaan pendidikan, kita tidak akan dapat lari daripada membincangkan tentang kadar pulangan pendidikan yang selalunya berkaitan dengan  pengiraan kadar pulangan sosial dan kadar pulangan persendirian. Apakah yang dimaksudkan dengan kadar pulangan sosial? Kadar pulangan sosial merujuk kepada peringkat pencapaian pendidikan dan masa persekolahan pelajar ( Thias dan Carnoy, 1972 dalam Rahmah & Nanthakumar, 2007) manakala kadar pulangan persendirian merujuk kepada jumlah kos perbelanjaan pelajar sepanjang tempoh pembelajaran. Antara kos persendirian yang diambil kira ialah, yuran, pakaian, kos pengangkutan, peralatan dan kos perbelanjaan buku dan sebagainya.

Apa yang saya pasti, pada hari pendaftaran, pelajar KKTM perlu menyediakan secara anggaran RM900 untuk urusan bayaran pada hari tersebut. Untuk setiap semester, mereka perlu membuat pembayaran sebanyak RM75 bagi aktiviti pelajar. Jika dihitung, sepanjang tiga tahun mereka di sini, mereka perlu membayar dalam anggaran RM1275 atau lebih. Walaubagaimanapun, MARA memberi mereka elaun sebanyak RM300 setiap bulan, dan pelajar tidak perlu membayar gaji pensyarah, penginapan di asrama, peralatan dan senggaraan bangunan dan sebagainya yang memang ditanggung dan disediakan oleh MARA.  Agak sukar untuk saya membuat anggaran perbelanjaan yang tepat bagi setiap pelajar KKTM, namun saya amat pasti perbelanjaan yang dikeluarkan adalah lebih tinggi berbanding pelajar diploma aliran bukan teknikal. MARA juga menawarkan peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara di peringkat ijazah bagi graduan KKTM yang berkelayakan. 

Mungkin ramai yang berpendapat MARA mengeluarkan belanja yang besar bagi pembiayaan pendidikan seseorang pelajar. Walaubagaimanapun, saya berpendapat bahawa pelaburan dalam proses pendidikan seseorang individu itu adalah kritikal, bukan sahaja bagi menjamin masa depan yang lebih produktif bagi individu itu sendiri, malah yang paling utama adalah menyumbang ke arah usaha negara untuk menjelmakan lebih ramai 'warga' negara yang 'berkualiti' bagi merealisasikan aspirasi negara ke arah pembentukan negara maju.

  

No comments: