Wednesday, April 24, 2013

Kategori Sekolah Berkesan

Picture of Dr. Zuraidah Binti Abdullah . " Bagaimana anda mengkategorikan sesebuah sekolah itu adalah sekolah berkesan?

Berdasarkan pembacaan saya, banyak pengertian yang saya dapati berkenaan sekolah berkesan. Walaubagaimanapun, definisi ' berkesan' adalah berbeza-beza  berdasarkan kehendak dan kemahuan pihak berkepentingan terhadap sekolah yang mungkin terdiri daripada pembuat dasar, masyarakat, ibu bapa atau mungkin pelajar itu sendiri. Bagi pendapat saya, sekolah yang berkesan adalah sekolah yang boleh mencapai lebih daripada matlamat atau sasaran yang ditetapkan, dan mampu mengekalkan pencapaian tersebut, disamping melakukan perubahan-perubahan yang perlu bagi kecemerlangan akademik dan kemenjadian pelajar dari semua aspek. 

Stoll dan Fink (1996) menegaskan bahawa untuk memberi definasi kepada keberkesanan, kita perlu memilih antara nilai yang berbeza-beza.  Oleh itu, melalui sebelas ciri sekolah berkesan yang dirumuskan oleh Martimore (1995) , keberkesanan sesebuah sekolah itu boleh diukur. 

Sebelas Ciri Sekolah Berkesan Yang Dirumuskan Oleh Mortimore (1995)

1. Kepemimpinan profesional

Ciri ini menekankan kepemimpinan sekolah yang tegas dan bertujuan. Sekolah-sekolah harus mempunyai pentadbir proaktif yang menekankan permuafakatan dan persamaan tujuan yang mengusaha dan mengekalkan proses memajukan sekolah. Seterusnya, ialah sama ada sekolah mengamalkan pendekatan musyawarah, berkongsi tanggungjawab serta melibatkan guru dalam membuat keputusan dan menekan(kan kepemimpinan ketua jabatan atau panitia. Ciri ini juga menekankan sama ada pengetua sekolah sebenarnya seorang profesional dan berilmu yang dapat menawarkan kepemimpinan kurikulum, merancang strategi kurikulum, memantau kemajuan pelajar, serta sedar dan tahu apa yang berlaku di dalam bilik darjah dan dapat membantu membaiki amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

2. Perkongsian wawasan dan tujuan

Ciri ini bermaksud warga anggota sekolah mempunyai persamaan nilai dan tujuan sekolah serta dapat berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mantap. Ciri ini juga merujuk pada pentadbiran sekolah yang mengamal tindakan pengurusan secara konsisten, iaitu berdasarkan piawai disiplin yang ditentukan oleh sekolah, atau guru menjadi model contoh. Ciri ini juga bermaksud tentang kewujudan kesetiakawanan dan kerjasama antara warga sekolah serta penglibatan guru dalam proses membuat keputusan.

3. Persekitaran pembelajaran

Ciri ini bermaksud iklim sekolah ditentukan oleh wawasan, nilai dan tujuan. Iklim sekolah yang baik sebenarnya dipengaruhi oleh suasana pembelajaran dan keadaan sekolah yang tertib dan teratur dengan persekitaran kerja yang menarik, tenang dan harmonis dalam suasana berorientasikan tugas, di samping wujudnya disiplin kendiri dalam kalangan pelajar yang merupakan prasyarat bagi pembelajaran berkesan.

4. Tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran

Ciri ini menampakkan tujuan utama sekolah, iaitu pengajaran dan pembelajaran kerana keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah. Kajian menunjukkan ada perkaitan yang rapat di antara tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran sekolah dengan keberkesanan guru. Kajian juga menekankan sekolah patut memfokus pada kuantiti dan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Rumusan pelbagai kajian oleh Mortimore menunjukkan bahawa sekolah harus memaksimumkan masa belajar, meningkatkan penggunaan masa belajar, mengagih masa untuk mata-mata pelajaran prioriti secara seimbang. Sebahagian besar masa guru ditumpukan pada pembelajaran murid dan guru sangat prihatin dengan pelajaran dan pembelajaran kognitif murid. Sekolah mengamalkan ketepatan masa belajar dan mengurangkan gangguan dari luar bilik darjah. Sekolah juga begitu menitikberatkan aspek-aspek ilmiah, mempunyai guru yang berpengetahuan mendalam dalam kurikulum, dan bertumpukan penguasaan kemahiran-kemahiran asas.

5. Pengajaran yang bertujuan

Mortimore mendapati kualiti pengajaran sebagai inti pati sekolah berkesan, di samping memiliki guru yang berkualiti. Ciri pengajaran bertujuan pula bermakna perlu mempunyai organisasi yang efisien, tujuan yang jelas, pengajaran yang berstruktur, dan amalan yang fleksibel.

6. Jangkaan kejayaan yang tinggi

Ciri ini bermaksud sekolah mempunyai jangkaan kejayaan yang tinggi dalam semua bidang terhadap murid-murid mereka kerana rumusan kajian Mortimore menunjukkan ada kaitan yang rapat di antara jangkaan kejayaan yang tinggi dan keberkesanan pelajar. Guru didapati sangat aktif dalam membantu pelajar dan yakin dengan pencapaian murid-murid. Guru juga sentiasa menzahirkan jangkaan mereka serta berkeyakinan terhadap pelajar yang merangsang mereka untuk berjaya. Rangsangan ini diberi melalui kata-kata pujian yang tekal.

7. Pengukuhan yang positif

Mortimore mendapati pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar. Pentadbiran disiplin perlu bersih dan adil. Disiplin yang baik berpunca daripada iklim sekolah yang teratur, yakni yang berasaskan rasa kepunyaan dan keterlibatan. Disiplin yang berkesan dapat mengekalkan suasana damai di sekolah. Di samping itu, guru juga harus mendapat maklum balas segera tentang setiap tindakan yang dijalankan, sementara kepada pelajar pula ganjaran atau hukuman perlu disegerakan selepas setiap kebaikan atau kesalahan dilakukan.

8. Memantau kemajuan

Berdasarkan maklumat kajian yang dikumpul oleh Mortimore, sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara teratur. Guru dapat menentukan sejauh mana tujuan sekolah telah dicapai. Sekolah perlu memberi tumpuan kepada pelajar, ibu bapa dan tujuan persekolahan. Sekolah juga hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam aspek-aspek penilaian dan kaedah mengajar yang terkini. Di samping itu, sekolah perlu menegaskan kepada pelajar dan guru supaya mengambil berat tentang kemajuan pelajaran.

9. Hak dan tanggungjawab pelajar

Rumusan kajian Mortimore turut mendapati sekolah berkesan menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Sehubungan itu, sekolah harus merancang dan meletakkan tanggungjawab yang sesuai kepada mereka.

10. Hubungan rumah-sekolah

Mortimore seterusnya menekankan tentang pentingnya hubungan rumah-sekolah bagi meningkatkan keberkesanan sekolah. Kajian-kajian menunjukkan pentingnya penglibatan ibu bapa dalam membantu anak-anak untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Hubungan ini seterusnya dieratkan melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru di dalam bilik khas yang disediakan, sementara pengetua pula mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka.

11. Organisasi Pembelajaran

Rumusan kajian Mortimore seterusnya menunjukkan sekolah-sekolah berkesan mempunyai organisasi pembelajaran yang menggalakkan guru dan staf am terus meningkatkan ilmu profesional. Ke arah sekolah berkesan, pengurusan sekolah harus mengadakan program perkembangan staf pada peringkat sekolah untuk membantu guru dan staf meningkatkan mutu pengajaran di dalam bilik darjah.

Sepuluh daripada sebelas ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Mortimore ialah ciri dalaman sekolah (in-school factors) yang lebih bertumpukan proses daripada konteks. Cuma ciri penyelidikan hubungan sekolah-rumah merupakan ciri luaran sekolah. Jadi, penyelidikan keberkesanan sekolah menunjukkan lebih banyak varian keberkesanan dijelaskan oleh faktor dalaman sekolah. Justeru, bagi tujuan pembaikan sekolah pengetua harus menumpukan tindakan yang lebih ke atas faktor-faktor dalaman berbanding dengan faktor konteks.

TUGASAN 02: ULASAN ARTIKEL

Artikel 01

Peranan Kepimpinan Guru dalam mempengaruhi iklim bilik darjah oleh Rahmad Shukor Ab. Samad dan Shahrir Jamaluddin UM dalam Journal Masalah Pendidikan 2005, UM.(http://myais.fsktm.um.edu.my/4990/1/11.pdf)

Artikel 02

Amalan Kecemerlangan Sekolah dalam kalangan dua jenis sekolah berprestasi tinggi di Malaysia oleh Muhammad Faizal A. Ghani dalam Jurnal Kajian Pendidikan ATIKAN,Vol 2.(2) Disember 2012.(http://atikan-jurnal.com/wp-content/uploads/2012/12/03.gani_.um_.des_.12.pdf)

Artikel 03

Kerangka Komprehensif untuk penambahbaikan Sekolah Berkesan: Satu Kajian Eksploratori oleh Rusmini Ku Ahmad dalam Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan IAB, KPM. Julai 2007.

Artikel 04

Integrating Lesson Study into Pre-Service Teacher Education: A Proposed Model of Learning to Teach In Real Context oleh Lim Chap Sam , Abdul Rashid Mohamed, Shuki Osman ,Chew Cheng Meng ,Universiti Sains Malaysia. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan IPTA 2012.(http://www.medc.com.my/medc/seminar_medc/fromCD/pdf/USM.pdf)

Artikel 05

The effects of school culture and climate on student achievement oleh Angus J. Macneil, Doris L.Prater dan Steve Busch dalam International Journal of Leadership in Education: Theory and Practice, Volume 12, Issue 1, 2009. http://www.tandfonline.com/doi/pdf/10.1080/13603120701576241

Saturday, April 20, 2013

TIPOLOGI BUDAYA SEKOLAH OLEH STOLL DAN FINK (1996)

Pembentukan budaya sesebuah institusi pendidikan seperti sekolah banyak dipengaruhi oleh sejarah, individu, metafora dan upacara-upacara sekolah, dan juga faktor-faktor sosial dan politik luar. Stoll dan Fink (1196) berpendapat bahawa seiring dengan kadar perubahan yang begitu pesat dalam masyarakat sekarang, sesebuah sekolah itu boleh dikategorikan sebagai berkesan atau tidak berkesan, dan tidak mungkin untuk ianya tidak berubah. Hasilnya, mereka mengemukakan model budaya sekolah yang berasaskan kepada dua dimensi: berkesan-tidak berkesan, dan meningkat-menurun, seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah.

Mereka berpendapat lima jenis sekolah terbentuk:

1. Moving - sekolah yang sudah berkesan dalam menambah nilai kepada pembelajaran pelajar mereka, dan mereka berusaha untuk bertindak balas mengikut perubahan semasa, dan untuk sentiasa membangun. Mereka mempunyai kemahuan dan kemahiran untuk mencapai sasaran mereka.

2. Cruising - sekolah yang dianggap sebagai berkesan. Prestasi pelajar adalah baik tetapi pihak sekolah tidak melakukan apa-apa untuk memberi nilai tambahan kepada pelajar bagi menyediakan mereka untuk berhadapan dengan cabaran dunia masa kini.

3. Crawling - sekolah yang terlibat dalam penambahbaikan sekolah, tetapi pada kadar yang tidak mencukupi. Mereka sering mempunyai masalah yang jelas dan matlamat yang bercanggah yang menghalang usaha-usaha penambahbaikan.

4. Struggling - sekolah yang tidak berkesan, dan tahu akan kelemahan mereka. Mereka sedang berusaha untuk berubah dan mencuba apa-apa yang boleh membuat perbezaan. Mereka mempunyai kehendak dan keperluan untuk membangunkan kemahiran.

5. Sinking - sekolah bukan sahaja tidak berkesan tetapi tidak bersedia atau mampu untuk mengubah.

Friday, April 19, 2013

KONSEP PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH ( Bahagian 1)

Picture of Dr. Zuraidah Binti Abdullah .  "If you put a frog in water and slowly heat it, the frog will eventually let itself be boiled to death. We too, will not  survive if we dont respond to the radical way in which the world is changing" Charles Handy...

Pernyataan ini menunjukkan jika kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku yang sentiasa  menekan diri sendiri, kita akan  mati. Ini menggambarkan keadaan di sekolah yang perlu menangani kehendak masyarakat.

Soalannya apakah perubahan pada hari ini yang memerlukan warga sekolah berubah? 
Adakah sekolah anda memastikan perkara ini berlaku sekiranya anda seorang pemimpin sekolah?
dan apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?

Respon saya:

Soalan 1: Perubahan apakah pada hari ini yang memerlukan warga sekolah berubah?

Saya berpegang kepada definisi yang dibawa oleh Jaafar Muhamad (1999), dalam keadaan biasa, perubahan diperkenalkan adalah hasil daripada pengubahsuaian kelakuan yang lepas untuk menyesuaikannya dengan situasi baru.

Perubahan yang berlaku dalam sesebuah organisasi, sebagai contoh di sesebuah institusi pendidikan seperti sekolah seharusnya bersifat Kaizen (berterusan - berlaku secara beransur-ansur serta menyeluruh) dan positif, yang membawa ke arah yang lebih baik atau penambahbaikan. Ini amat penting bagi menyesuaikannya dengan perkembangan dunia yang pesat dan pantas.  Perubahan juga merujuk kepada pengenalan sesuatu tingkahlaku baru atau amalan-amalan baru yang diharap akan dapat memperbaiki amalan atau keadaaan yang sedia ada di sekolah.

      Sebagai seorang bakal pemimpin institusi pendidikan, saya perlu menerima perubahan itu sebagai satu proses yang berterusan manakala institusi pendidikan atau sekolah saya sebagai satu pusat atau hub di mana perubahan itu berlaku. Memandangkan sekolah saya adalah satu unit atau organisasi yang saling bergantungan di antara satu sama lain, perubahan adalah satu fenomena yang perlu dilalui ( sedar atau secara tidak sedar) oleh semua warga sekolah termasuklah ibubapa, masyarakat, kementerian yang bertanggungjawab dan negara.

       Oleh itu, perlu bagi saya sebagai pengurus perubahan utama untuk mengenalpasti bentuk-bentuk perubahan yang melanda sekolah saya.  Perubahan dalam sesebuah organisasi boleh berlaku disebabkan oleh desakan luaran dan dorongan dalaman.

         Mengikut Stoner J.A.F (1989), desakan luaran yang mendesak kepada perubahan ialah kenaikan kos, kekurangan sumber, kemajuan teknologi, permintaan dari luar (pengguna) dan kekurangan peruntukan kewangan dari kerajaan. Keadaan ini menyebabkan sesebuah organisasi itu terpaksa mengubah struktur, matlamat dan kaedah-kaedah operasinya. Manakala desakan dalaman pula terdiri dari strategi baru, teknologi, sikap dan tingkah laku. Walau bagaimanapun kedua-dua penggerak luaran dan dalaman ini saling berkait.

Bentuk-bentuk Perubahan di Sekolah.

Terdapat pelbagai bentuk perubahan yang boleh dilakukan dalam sesebuah organisasi sekolah. Biasanya perubahan di sekolah dikaitkan dengan konsep penambahbaikan iaitu satu bentuk perubahan yang terancang secara berterusan. Perubahan terancang bermaksud:

 ‘That the change is anticipated, directed and made to occur. The end product of the successful planned changed effort is the attainment of a predetermined objectives.
(Hussein, 1993 : 262)

Pernyataan di atas bermaksud perubahan terancang bertujuan untuk mengubah keadaan yang kurang memuaskan pada masa kini. Keadaan kurang memuaskan itu wujud akibat amalan dan pengurusan bilik darjah secara yang tidak berkesan, masalah disiplin dan prestasi pelajar. Matlamat perubahan terancang di sekolah adalah untuk mendapatkan perseimbangan antara apa yang diharapkan (ideal) dengan apa yang tercapai (real). Secara umumnya, perubahan terancang di sekolah memerlukan strategi dan pelan tindakan Antara strategi termasuklah pembangunan organisasi seperti meningkatkan keupayaan dan kebolehan ahli seperti guru-guru dan kakitangan bukan akademik di sekolah.

Mengikut Jaafar Muhamad (1999), seseorang pengurus yang peka dan bertanggungjawab akan membuat sesuatu untuk memelihara keutuhan organisasinya apabila berlaku tekanan untuk perubahan. Beliau akan menilai dan memastikan bahawa setiap perubahan yang dilakukan adalah tepat dan sesuai dengan masalah yang dihadapi. Keadaan yang sama juga sepatutnya dilakukan oleh pengetua apabila melaksanakan perubahan di sekolah.

Harold J. Leavitt ( Stoner, 1989 : 446) menyatakan bahawa sesebuah organisasi boleh diubah dengan menukarkan tiga perkara iaitu struktur, teknologi dan manusia. Mengubah struktur organisasi melibatkan usaha-usaha menyusun semula sistem-sistem dalamannya seperti garisan-garisan komunikasi, hubungan pihak yang berkuasa, penyatuan mekanisma, darjah pemusatan dan merekabentuk semula tugas, aliran kerja atau hierarki pengurusannya. Perubahan ini perlu dilakukan apabila keadaan organisasi sudah tidak atau kurang berfungsi. Dalam konteks sekolah, pengetua boleh melakukan perubahan dengan mengadakan penyusunan struktur tugas guru-guru dan kakitangannya mengikut keperluan dan kepakaran masing-masing selaras dengan matlamat organisasi. Untuk meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja, faktor-faktor seperti minat, kepakaran, kemahiran guru perlu diambil kira dalam menstrukturkan tugas guru-guru. Kaedah pemancaran juga sering digunakan iaitu dengan mewujudkan beberapa pasukan atau jawatankuasa kecil supaya tugas dan aktiviti dapat dijalankan dengan licin. Apabila ada kakitangan yang kurang berkesan, Pengetua haruslah mengkaji kelemahan dan sebab-sebabnya bagi membolehkan penyusunan semula tugas dilakukan. Contohnya dalam pemilihan guru-guru untuk mengajar kelas dan dalam kursus tertentu, pembentukan jawatankuasa kurikulum, disiplin dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam aspek tertentu, kuasa Pengetua adalah terbatas, contohnya perlantikan dan pertukaran guru, kenaikan pangkat dan sebagainya.

Mengubah teknologi organisasi pula bererti menukarkan kelengkapan, proses dan teknik penyelidikan dan kaedah pengeluarannya. Pendekatan bentuk ini telah diasaskan oleh Federick Taylor (Stoner, 1989 : 448), menerusi Teori Pengurusan Sainstifik di mana ia mengatakan perubahan teknologi yang canggih boleh meningkatkan produktiviti dan mendatangkan kesan positif kepada organisasi. Dalam konteks industri yang menekankan pengeluaran barangan, perubahan teknologi amat penting. Di sekolah, perubahan teknologi yang melibatkan pengurusan sekolah secara saintifik akan meningkatkan lagi keberkesanan perjalanan dan operasi kerja. Penggunaan alatan moden seperti mesin fotostat, komputer, audio visual, teknik dan model-model pengajaran dan pembelajaran moden akan memudahkan pengajaran guru dan pembelajaran murid. Pada masa yang sama, teknologi moden ini dapat mewujudkan iklim pembelajaran lebih menarik, bermotivasi dan tidak membosankan.

Satu lagi bentuk perubahan ialah perubahan manusia. Perubahan manusia bermaksud perubahan kepada subordinat dalam aspek kemahiran, jangkaan tanggapan dan kelakuan manusia. Sepertimana yang kita sedia maklum, kelakuan manusia adalah sukar diubah. Manusia secara keseluruhannya tidak menentang semua perubahan tetapi mereka akan menentang apa yang mereka anggap boleh menggugat kedudukan mereka.

Terdapat pelbagai teknik untuk mengubah dan memandu individu dan kumpulan untuk bekerja lebih berkesan. Mengikut Stoner J. A. F (1989 : 454), antara teknik yang digunakan ialah latihan sensitiviti, tinjauan maklum balas, proses perundingan, membina pasukan dan perkembangan antara kumpulan. Dalam konteks sekolah, Pengetua boleh melakukan perubahan tingkahlaku, sikap, tanggapan dan pengharapan guru-guru dan kakitangan sama ada secara individu, kumpulan atau keseluruhan organisasi sekolah. Sebagai contoh Pengetua menukarkan atau mengeluarkan guru-guru yang sering menimbulkan masalah yang merumitkan seperti kesukaran mendapat guru ganti, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan guru pakar dan berpengalaman. Dalam hal ini Pengetua haruslah menggunakan pendekatan yang fleksibel dan sesuai yang melibatkan kemahiran kemanusiaan yang tinggi.

Ada juga bentuk perubahan yang dilaksanakan di sekolah secara jangka panjang. Biasanya pendekatan ini merujuk kepada usaha membangunkan organisasi secara menyeluruh dengan memfokus kepada sifat serta kualiti hubungan kerja mereka. Antara kaedah yang biasa digunakan ialah proses-proses penyelesaian masalah, membuat keputusan di sekolah melibatkan samaada Pengetua memilih untuk menyelesaikan masalah secara sendiri atau secara bersama-sama, yakni melibatkan semua subordinatnya. Pengetua sebagai pemimpin sebaiknya melakukan perubahan melalui penglibatan dan perkongsian kuasa dengan subordinatnya bukan secara autoriti.

Perubahan juga boleh melibatkan budaya sekolah. Ia meliputi perubahan pola-pola aktiviti, interaksi, norma, nilai sikap dan perasaan yang wujud di sekolah. Dalam proses perubahan budaya ini Pengetua haruslah mengenalpasti apa budaya yang tidak diperlukan dan apa budaya yang patut dikekalkan. Ini penting kerana jika tersalah pilih ia akan menimbulkan tentangan dan tidak diterima oleh guru-guru dan kakitangan sekolah. ( Jaafar Muhamad, 1999)

Rumusan

Jelas bahawa perubahan dalam sesebuah organisasi termasuk institusi pendidikan amat penting untuk dilaksanakan.  Ini kerana tanpa perubahan, sesebuah organisasi itu tidak akan mencapai kecemerlangan. Namun untuk melaksanakan perubahan bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan pertimbangan dan penglibatan semua pihak supaya perubahan tersebut dapat dilaksanakan secara berkesan. Sebagai bakal pemimpin sekolah dan agen perubahan yang utama, saya perlu memahami dan menganalisis terlebih dahulu apa perubahan yang hendak dilaksanakan, tujuan, matlamat, bagaimana, bila dan siapa yang akan melaksanakan perubahan tersebut.  Oleh itu, saya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai asas teori dan model perubahan untuk dijadikan panduan. Ini penting supaya perubahan yang dilaksanakan itu boleh meningkatkan pencapaian organisasi dan pada masa yang sama ia boleh diterima oleh kakitangan tanpa menimbulkan pelbagai halangan.

KONSEP PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH ( Bahagian 3)

Picture of Dr. Zuraidah Binti Abdullah .  "If you put a frog in water and slowly heat it, the frog will eventually let itself be boiled to death. We too, will not  survive if we dont respond to the radical way in which the world is changing" Charles Handy...

Pernyataan ini menunjukkan jika kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku yang sentiasa  menekan diri sendiri, kita akan  mati. Ini menggambarkan keadaan di sekolah yang perlu menangani kehendak masyarakat.

Soalannya apakah perubahan pada hari ini yang memerlukan warga sekolah berubah? 
Adakah sekolah anda memastikan perkara ini berlaku sekiranya anda seorang pemimpin sekolah?
dan apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?

Respon saya:

Soalan 3: Pemahaman berkaitan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah.

          Perkataan sekolah berkesan merupakan suatu istilah yang telah diguna pakai pada asalnya bagi menggambarkan sekolah yang mempunyai pencapaian kejayaan yang melebihi sasaran dalam bidang akademik (Ishak Sin, 2004).  Jemaah Nazir Persekutuan pula mendefinisikan sekolah berkesan berdasarkan pendapat Edmond (1979) iaitu memberi fokus pengajaran yang dinyatakan dengan jelas dan menggunakan penilaian dan penaksiran yang sistematik.  Kebanyakan pengkaji di United Kingdom (UK) mengukur keberkesanan sekolah berdasarkan output yang terhasil daripada pemboleh ubah proses dan konteks manakala kebanyakan pengkaji di Amerika mengukur keberkesanan sekolah berdasarkan output iaitu pencapaian dalam ujian standard.  Oleh sebab sistem pendidikan di Malaysia masih cenderung kepada model dan sistem pendidikan UK maka kebanyakan kajian dan fahaman kita bagi mengukur keberkesanan sekolah juga adalah bersandarkan kepada output proses dan konteks yang ditunjangi oleh sistem pendidikan UK.

       Lippitz (1984) telah mentakrifkan sekolah berkesan sebagai "sekolah yang selamat dan teratur di mana kanak-kanak miskin dan kelas pertengahan mendapat pencapaian akademik yang baik" (Hare, 1988).  Manakala Felsenthal (1982) pula mentakrifkan sekolah berkesan apabila majoriti pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam pada peringkat kebangsaan. Menurut Levine dan Lezotte (1990), ukuran sekolah berkesan yang telah digunakan oleh kebanyakan penyelidik ialah pencapaian dalam mata pelajaran tertentu seperti matematik, sains atau bahasa, kehadiran sekolah dan kepuasan pelajar.  Di sini kita dapat melihat berbagai-bagai definisi bagi sekolah berkesan mengikut fahaman, kajian dan falsafah masing-masing. 

        Dalam memperkatakan tentang konsep sekolah berkesan juga, Astin (1985) menyatakan bahawa konsep keberkesanan sekolah juga tidak seharusnya mencakupi kejayaan akademik semata-mata tetapi juga perkembangan intelektual dan kendiri para pelajar serta kesesuaian kurikulum dengan keperluan pelajar.  Namun keberkesanan sekolah mempunyai berbagai-bagai pengertian disebabkan berbagai-bagai pihak (guru, murid, ibu bapa, komuniti) mempunyai persepsi yang berbeza terhadap apa yang mereka kehendaki daripada sekolah (Sharifah, 2000).  Brookpver dan Lezotte (1979) serta Broojkover (1979) telah meletakkan ukuran asas sekolah berkesan sebagai tanda, iaitu memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran asas di kalangan pelajar, jangkaan tinggi terhadap pelajar, kepemimpinan pentadbiran yang baik, pemantauan tentang kemajuan pelajar, dan iklim yang kondusif untuk belajar.  Ternyata, kelima-lima ciri tersebut berhubungan dengan aspek-aspek kepemimpinan dan peranan aspek keguruan.  Selain daripada ini terdapat beberapa orang penyelidik lain seperti Gauthier (1982), Shoemaker (1982) dan Villanova (1984) yang telah mengenal pasti beberapa set dan seterusnya mengembangkan ciri-ciri tersebut seperti persekitaran sekolah yang selamat dan tersusun, misi sekolah yang jelas, kepemimpinan pengajaran, jangkaan yang tinggi, peluang belajar, sering membuat pemantauan ke atas pelajar, dan perhubungan positif antara sekolah dan rumah. 

        Purkey dan Smith (1983) pula telah melaksanakan kajian dan mendapati bahawa 13 ciri sekolah berkesan.  Mereka telah membahagikan 13 ciri ini kepada dua struktur.  Struktur pertama terdapat sembilan ciri sekolah berkesan yang berkaitan dengan struktur organisasi, dan struktur kedua terdiri daripada empat ciri yang berkaitan dengan pemboleh ubah proses, yang berhubung kait pula dengan budaya dan iklim sesebuah sekolah.  Purkey dan Smith (1983) melihat struktur organisasi adalah, penekanan kepada pengurusan dan membuat keputusan secara demokratik, kepemimpinan pengajaran yang terbaik diberikan oleh guru besar atau pengetua atau guru-guru lain, kestabilan staf, penekanan kepada kurikulum dan pengajaran, program pembangunan staf di peringkat sekolah, penglibatan dan sokongan ibu bapa, pengiktirafan tentang kejayaan akademik, penggunaan masa yang berkesan, penggunaan lebih masa kepada pelajaran akademik dan kurang kepada aktiviti-aktiviti bukan akademik, sokongan daripada pejabat pendidikan daerah. Manakala pemboleh ubah proses pula dimaksudkan oleh Purkey dan Smith (1983) adalah seperti perancangan kolaboratif dan perhubungan kerja yang baik dan berkesan, perasaan komuniti, matlamat yang jelas dan jangkaan tinggi dan disiplin berdasarkan peraturan yang jelas dan dilaksanakan dengan adil.

        Ramai ahli teori barat mengemukakan pandangan mereka tentang sekolah berkesan di sebalik kehadiran variasi jenis sekolah di negara mereka seperti sekolah awam, sekolah terbuka, sekolah “parocial”, sekolah “accelerated”, sekolah alternatif dan sebagainya.  Keadaan ini mewujudkan kelainan dari segi budaya, kurikulum, nilai, cara pengurusan, pendekatan dan prinsip kewujudan.  Apabila teori-teori ini diguna pakai di Malaysia, kita dapat menjangkakan bahawa terdapat persamaan kerana di negara kita juga mempunyai beberapa jenis sekolah seperti sekolah bestari, sekolah wawasan, sekolah kluster, sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah swasta dan sebagainya.  Kewujudan sekolah-sekolah ini telah memberi pilihan kepada ibu bapa yang mampu memberi gambaran bahawa mereka mempunyai harapan yang berbeza. 

Kerangka teori

       Mortimore (1995) yang merupakan antara tokoh terkenal dalam membincangkan topik sekolah berkesan. Pandangan beliau telah diguna pakai di negara ini sebagai pandangan yang agak lengkap dan bersesuaian dalam konteks Malaysia.  Institut Aminuddin Baki dalam seminarnya pada tahun 1995 juga mengambil kira pandangan beliau yang telah menggariskan sebelas faktor yang menentukan keberkesanan sesebuah sekolah.  Faktor-faktor yang dimaksudkan adalah; amalan kepimpinan yang profesional; mempunyai wawasan dan matlamat bersama; wujudnya persekitaran yang menggalakkan pembelajaran; pengajaran yang bermatlamat; terdapat penghargaan / hasrat yang tinggi; amalan pengukuhan positif; pemantauan kemajuan sekolah; memberi hak dan tanggungjawab kepada murid-murid; wujudnya perkongsian rumah-sekolah; sekolah sebagai sebuah organisasi pembelajaran.

Penjelasan teori

1. Amalan kepimpinan yang profesional 
Amalan kepimpinan yang profesional  bermaksud seorang pemimpin mempunyai wawasan dengan menggerakkan organisasi kepimpinannya secara terancang dan profesional.  Hal ini meliputi gaya pengurusannya, hubungan dengan wawasan, nilai dan matlamat serta pendekatan dalam melakukan proses pelaksanaan perubahan.  Aspek kepimpinan pengetua diambil kira dan tugas mereka adalah sebagai pemimpin teknikal, pemimpin manusia, pemimpin pendidik, pemimpin simbolik, dan pemimpin budaya.   Namun apa yang paling penting adalah peranan mereka sebagai pemimpin pengajaran (instructional leader) yang sentiasa peka dengan tahap kepuasan kerja guru-guru dan sentiasa mengambil kira perkembangan pencapaian pelajarnya.  Mereka sentiasa melakukan pemantauan dari segenap aspek dan melaksanakan penilaian dalaman bagi tujuan penambahbaikan. 

2. Mempunyai wawasan dan matlamat bersama
Ishak (2004) dalam kajiannya menyatakan bahawa sesebuah sekolah menjadi lebih berkesan apabila sekolah mempunyai satu tujuan yang jelas.  Wawasan atau visi sekolah merupakan suatu gambaran mental tentang apa yang akan dicapai oleh sekolah pada masa depan (Ramlah, 2000).  Pemimpin sekolah berkesan akan mewujudkan suatu visi dan misi yang ideal dan dikongsi melalui persetujuan ahli-ahlinya.  Dalam menentukan visi, kualiti dan keunggulan visi diperbincangkan, diperdebatkan dan diperhalusi oleh semua ahli dan pemimpin agar unsur yang dianggap kurang membina dapat disingkirkan.  Bagi mengukuhkan semangat menuju visi berkenaan, ianya hendaklah ditulis dan dipamerkan agar dapat dibaca dan dihayati pada setiap masa oleh semua warga sekolah.  Dengan itu segala perancangan dan amalan akan menjurus kepada suatu arah matlamat yang jelas dan serupa. 

3. Wujudnya persekitaran yang menggalakkan pembelajaran.
Bidang utama sekolah adalah memberi pendidikan iaitu melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, berterampilan dan berakhlak mulia.  Sharifah (2000) dalam pandangannya menyatakan bahawa persekitaran pembelajaran yang menggalakkan adalah persekitaran yang teratur, dan persekitaran kerja yang menarik.  Dengan wujudnya persekitaran seperti ini suasana pembelajaran akan menjadi lebih kondusif dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan.  Pelajar-pelajar akan berasa lebih berpuas hati dengan persekitaran seperti ini dan menjadikan sekolah sebagai tempat yang sesuai untuk menimba ilmu pengetahuan. 

4. Penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran.
Tujuan utama sekolah adalah menyediakan lokasi yang kondusif untuk pembelajaran dan tugas utama guru adalah menjalankan sesi pengajaran kepada pelajar.  Mohamed Najib (2003) menyatakan bahawa pendidikan melibatkan dua proses iaitu pengajaran sebagai proses memberi pengalaman manakala pembelajaran sebagai proses menerima pengalaman.  Sekolah yang berkesan akan menumpukan ‘core business’ ini dan menjadikan pelajar sebagai produk (outcome) modal insan yang berilmu dan berkualiti tinggi.  Ada pihak yang menyarankan supaya sekolah lebih khusus dalam matlamatnya iaitu lebih mementingkan perkara asas ‘back to basic’ dan menumpukan perhatian kepada ‘core business’ iaitu mengajar perlu menjadi pegangan mereka (Trisman et al., 1976; Edmonds, 1979).

5. Pengajaran yang bermatlamat.
Pengajaran yang bermatlamat adalah pengajaran yang jelas tujuannya, mempunyai perancangan yang rapi, pelajaran yang berstruktur dan amalan yang sesuai dengan konteks yang dirancang.  Guru memberikan komitmen dalam menyediakan segala perancangan dan persiapan yang rapi berdasarkan objektif yang ditetapkan manakala pihak pentadbiran sekolah pula bertanggungjawab membantu guru dengan cara menyediakan sukatan kurikulum yang betul dan lengkap agar segala perancangan bersifat terarah dan menepati kehendak stake holder.  Selain itu, pengajaran di bilik darjah yang bukan bersifat akademik pula mempunyai kepentingan dalam membangunkan emosi, sahsiah, perkembangan fizikal dan psikomotor pelajar dengan terancang dan cemerlang.

6. Terdapat penghargaan /  hasrat yang tinggi.
Pengharapan dan hasrat tinggi sekolah dapat dilihat pada sasaran yang dinyatakan pada visi sekolah.  Harapan yang tinggi bukan sahaja kepada pelajar malah kepada guru dan staf selaku penggerak organisasi dan penyumbang kepada perubahan sekolah.  Pemimpin yang berorientasikan pencapaian akan cuba meletakkan suatu sasaran tinggi dan memberi kepercayaan kepada para guru dan kakitangan melaksanakan misi yang ditetapkan.  Selain itu keutamaan adalah terhadap prestasi akademik yang tinggi dan murid digalakkan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya.  Kejayaan murid pula dibalas dengan penghargaan secara serta-merta dan berterusan.

7. Amalan pengukuhan positif.
Setiap tindakan positif atau kejayaan ahli-ahlinya diberikan penghargaan yang sewajarnya.  Mortimore (1995) mendapati bahawa pengukuhan positif dalam bentuk hadiah dan insentif menjadi faktor penting bagi meningkatkan motivasi pelajar.  Walaupun tidak secara keterlaluan ganjaran-ganjaran dan pujian ini adalah penting bagi mengiktiraf pencapaian atau usaha positif mereka.  Keadaan ini dilaksanakan bagi mengukuhkan tingkah laku yang dikehendaki dan menggalakkan individu lain meniru tingkah laku tersebut atau melakukan dengan lebih baik lagi.  Kepuasan kerja akan berlaku apabila sumbangan positif mereka diberi perhatian dan dihargai.

8. Pemantauan kemajuan sekolah.
Kajian yang dilakukan oleh Mortimore (1995) terhadap sekolah berkesan mendapati bahawa sekolah berkesan sentiasa melakukan pemantauan terhadap kemajuan dan prestasi pelajar secara tekal dan bersistematik.  Hasilnya pihak guru, ibu bapa dan pentadbiran dapat melihat sejauh mana matlamat sekolah telah dicapai. Selain daripada kemajuan pelajar, sekolah juga perlu berusaha untuk meningkatkan kompetensi dari segi pengetahuan dan kemahiran guru itu sendiri.  Sekolah yang berkesan juga menggalakkan pelajar, guru dan ibu bapa secara kolaboratif mengambil berat tentang kemajuan dan pencapaian pelajar.

9. Memberi hak dan tanggungjawab kepada murid-murid.
Dalam mengukuhkan lagi kajian beliau tentang faktor sekolah berkesan, faktor berkaitan dengan penglibatan pelajar dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap sekolah juga dianggap penting.  Dengan cara ini sekolah telah menekankan usaha meningkatkan harga diri pelajar melalui tugasan yang bermakna kepada mereka. Pelajar digalakkan mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai kegiatan di sekolah. Dalam masa yang sama juga sekolah memberikan hak-hak yang sepatutnya diterima oleh pelajar tersebut termasuklah kuasa-kuasa membuat keputusan dengan bimbingan guru-guru berpadanan dengan peranan mereka di sekolah.  Hak-hak lain termasuklah memberi peluang sama rata kepada semua pelajar untuk mendapat peluang pendidikan yang berkualiti.

10. Wujudnya perkongsian rumah-sekolah.
Ibu bapa dan guru mempunyai satu matlamat bersama iaitu untuk melihat pencapaian positif pelajar dalam pelajaran.  Dengan cara ini, matlamat untuk membina hubungan rumah-sekolah bagi meningkatkan keberkesanan sekolah turut dititik beratkan.  Hubungan ibu bapa dan pelajar tidak terbatas di rumah sahaja malah keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa ini semasa di rumah memberi semangat kepada pelajar ketika mereka berada di sekolah.  Ibu bapa dan guru dapat mengeratkan hubungan mereka melalui lawatan ibu bapa ke sekolah untuk berbincang tentang kemajuan anak-anak dengan guru.  Guru-guru juga digalakkan mengunjungi rumah pelajar yang dirasakan bermasalah untuk melihat sendiri keadaan persekitaran pelajar sambil menunjukkan rasa prihatin pihak sekolah kepada mereka.  Pengetua juga boleh mengukuhkan lagi hubungan ini melalui dasar-dasar yang terbuka yang menggalakkan perkongsian maklumat serta kerjasama sekolah dan ibu bapa.

11. Sekolah sebagai sebuah organisasi pembelajaran.
Mortimore seterusnya menunjukkan bahawa sekolah-sekolah berkesan bukan sahaja menyediakan tempat belajar kepada pelajar malahan juga kepada semua guru dan staf.  Galakkan yang oleh pihak sekolah ini boleh dilakukan secara langsung atau tidak langsung melalui persekitaran sekolah yang kondusif dan program-program tertentu.  Persekitaran sekolah yang kondusif untuk pembelajaran guru adalah apabila banyak maklumat dan bahan yang bersesuaian untuk dibaca oleh guru-guru dalam meningkatkan ilmu pengetahuan, kompetensi dan profesionalisme diri.  Fungsi perpustakaan dan sudut bacaan bukan sahaja untuk manfaat pelajar tetapi juga guru-guru dan kakitangan yang lain.  Program perkembangan staf pula diadakan dari masa ke semasa mengikut perkembangan dan tuntutan semasa.  Bukan itu sahaja malah guru-guru juga digalakkan menyumbangkan pengetahuan mereka untuk dikongsi bersama menerusi penulisan artikel dan karya akademik lain. 

Konsep Penambahbaikan Sekolah

Gerakan sekolah berkesan ini berkembang dengan menjadi proses penambahbaikan sekolah bermula dengan pandangan Van Velzen, et al. (1985) yang menyatakan bahawa sekolah itu dikira berkesan seandainya terdapat dokongan usaha yang sistematik dan berterusan menuju perubahan keadaan pembelajaran serta lain-lain perkaitan dalaman keadaan dengan sasaran untuk menyempurnakan matlamat pendidikan yang lebih berkesan.

"a systematic, sustained effort aimed at change in learning conditions and other related internal conditions in one or more schools, with the ultimate aim of accomplishing educational goals more effectively."
(1985:48)

Pandangan beliau ini telah diterima secara meluas sebagai definisi awal penambahbaikan sekolah. Hopkin et. Al (1996) pula secara ringkas dan padat menakrifkan penambahbaikan sekolah

i)sebagai ikhtiar umum menyediakan tempat belajar untuk pelajar
ii) sebagai strategi perubahan pendidikan dalam usaha ke arah hasilan pelajar sejajar dengan tindakan mengukuhkan kapasiti sekolah dalam mengurus perubahan.

Seterusnya Stoll dan Fink (1996) membangunkan definisi tersebut dengan lebih terperinci.Takrifan sekolah berkesan telah dihalusi sebagai meningkatkan hasilan pelajar melalui jujukan proses perkaitan dalaman. Menurut Stoll dan Fink, corak penambahbaikan sekolah mestilah mempunyai ciri-ciri

  1. berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran,
  2. membina kapasiti yang boleh mencetuskan perubahan tanpa menghiraukansumbernya,
  3. menentukan sendiri halatuju,
  4. menaksir budaya dan kerja semasa untuk mengembangkan norma dan adab positif,
  5. mempunyai strategi untuk mencapai matlamat
  6. menyenaraikan butiran keadaan dalaman yang boleh meningkatkan perubahan
  7. mempertahankan momentum semasa waktu berlakunya pergolakan
  8. memantau dan menilai proses, progress pencapaian dan perkembangannya.

Tiga fasa Penambahbaikan
 
Miles (1986) dalam Preedy et al (1997) menggariskan tiga fasa yang mempengaruhi proses penambahbaikan:

  1. permulaan (pengubahsuaian)/ Initiation
  2. implementasi iaitu pelaksanaan pengalaman berkaitan perubahan/ Implementation dan 
  3. penggabungjalinan/ Institutionalization 
Fasa permulaan melibatkan keputusan untuk memulakan proses perubahan dan penambahbaikan. Dalam fasa ini, kita akan menganggap bahawa bukti yang tepat dan berkaitan boleh didapati sebagai rujukan kepada keputusan untuk memperbaiki dan juga penambahbaikan yang perlu dibuat. Faktor-faktor lain adalah akses kepada maklumat, tekanan dari dalam dan luar sekolah, ketersediaan sumber dan sokongan perundingan, dan kualiti keadaan dalaman sekolah dan organisasi. 

Di peringkat pelaksanaan, penggunaan inovasi bermula. Faktor utama bagi peringkat ini adalah seperti pelan tindakan, pembangunan komitmen dan
penyelesaian masalah yang timbul akibat perubahan amalan. Untuk berjaya pada peringkat ini, mengikut penemuan Miles, tanggungjawab perlu dijelaskan, perkongsian kawalan terhadap pelaksanaan;campuran tekanan dan desakan; pembangunan profesional yang mencukupi dan berterusan; dan ganjaran bagi guru-guru yang maju ke hadapan dengan proses tersebut.

Institusionalisasi adalah peringkat apabila perubahan tidak lagi dianggap sebagai baru tetapi telah menjadi sebahagian daripada budaya sekolah. Penekanan Miles di sini adalah bahawa perubahan harus mempengaruhi pembelajaran pelajar. 

Pemahaman berkenaan fasa-fasa ini adalah penting, kerana ianya sebahagian daripada proses penambahbaikan.

Thursday, April 11, 2013

Pengenalan : Budaya Sekolah

Definisi Budaya

Menurut Deal dan Peterson(1999), John(2010) dan Garatt(1990), budaya ialah entiti keseluruhan yang kompleks. Ia merangkumi aspek-aspek seperti pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, norma, adat resam dan kemahiran-kemahiran lain serta kebiasaan yang diwarisi ataupun diperoleh dan diaplikasi di dalam kehidupan. Kesemua elemen ini adalah penting dalam menghuraikan sesuatu perkara ataupun perlakuan (Deal dan Petterson, 1999). Manakala, menurut Ma’rof Redzuan dan rakan-rakan (2001) pula menghuraikan budaya sebagai fabrik masyarakat yang mengikat ahli-ahli masyarakat dan institusinya melalui set matlamat dan nilai yang disediakan oleh budaya masyarakat itu sendiri. Ia juga lebih dikenali sebagai concensual dan holistic (menyeluruh).

Definisi Budaya Sekolah
Maksud budaya sekolah menurut Banks dan Banks(1993), Deal dan Peterson (1998) ialah sistem sosial yang mempunyai budaya yang tersendiri. Ia terdiri dari norma institusi, struktur sosial, kepercayaan, nilai, simbol, tradisi, matlamat dan tujuan yang tersendiri untuk membentuk organisasi tersendiri. Berdasarkan kajian Budaya Sekolah Rendah: Hubungannya Dengan Kepemimpinan, Komitmen Organisasi Dan Pencapaian Akademik oleh Yaakob, 2007. Menurut Hopkins (2005), kajian-kajian menunjukkan salah satu faktor penghalang kepada pencapaian sekolah ialah budaya organisasi sekolah. Justeru, reformasi pendidikan harus memberi fokus kepada budaya terlebih dahulu sekiranya mutu pendidikan hendak ditingkatkan. Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi, kurikulum, bentuk bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang membezakan sekolah ialah unsur budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan penentu pada keberkesanan sekolah (Bolman & Deal, 1991; Huberman, 1992; Sharifah Md Nor, 2000). Memandangkan budaya dibentuk oleh warganya, maka budaya boleh berubah dan orang yang paling berpengaruh untuk mengubah dan mencorakkan budaya sekolah ialah kepemimpinan sekolah (Deal & Peterson, 1999; Sergiovanni, 2000).

Sifat budaya sekolah
Melalui definisi-definisi di atas, terdapat beberapa sifat yang dapat kita pastikan dalam membentuk budaya sekolah. Setiap sifat dan dalam rangkaian budaya mempunyai fungsi dan peranan serta pengertian yang tersendiri yang menjadi asas sekolah. Maksud yang tersirat dalam sifat-sifat budaya sekolah menurut Shatar Sabran (2001) adalah seperti simbol, norma yang terdiri daripada Mores dan resam, nilai, kepercayaan dan ritual, bahasa, tradisi dan perayaan, konvensi dan andaian dan pengetahuan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi budaya sekolah
Daripada yang kita ketahui, setiap sekolah mempunyai budaya yang tersendiri yang membentuk sistem yang tersendiri. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi dalam membentuk budaya sekolah. Antara faktor-faktornya ialah nilai dan misi, struktur organisasi, komunikasi yang berkesan, persekitaran kerja, pemilihan dan pengambilan pekerja, perancangan kurikulum, belanjawan dan pengurusan sumber, sistem nasihat dan disiplin dan komuniti.

Definisi visi, misi dan nilai
Visi ialah tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Empat). Visi juga merupakan matlamat sekolah yang berorientasikan pencapaian. Misi ialah memberi arah tuju dan tujuan sekolah yang nyata. Ia adalah cara merancang pelan operasi bagi mencapai objektif dan sasaran oleh masyarakat sekolah. Nilai adalah bagaimana sifat-sifat dapat dicapai.

Nilai dan visi mempengaruhi budaya sekolah.
Budaya sekolah merupakan elemen yang penting dalam sesebuah sekolah dan dipengaruhi oleh nilai dan kepercayaan yang menjadi asas dam visi sekolah. Selain itu, struktur dan sistem sekolah membolehkan sekolah memilih cara bagaimana ia menjalankan aktiviti visi. Visi sekolah terdapat dalam pernyataan dasar sekolah yang timbul daripada nilai dan kepercayaan sekolah. Visi dan misi sangat penting di dalam sesebuah sekolah, ini merupakan matlamat sekolah dan hala tuju sekolah sesebuah sekolah. Visi dan misi mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dalam membentuk wawasan sekolah dan merupakan pemangkin setiap warga sekolah untuk mencapainya. Oleh itu, nilai dan visi merupakan pengaruh yang penting dalam membentuk budaya sekolah dan  tanggungjawab warga sekolah untuk mencapainya. Ini adalah kerana nilai dan visi adalah cermin sesebuah sekolah tersebut.

Friday, April 5, 2013

Perbincangan 1: Perubahan dalam konteks Institusi Pendidikan.

Sebelum kita dapat membincangkan perkara di atas dengan lebih mendalam, apakah yang dimaksudkan dengan perubahan.

Mengikut Jaafar Muhamad (1999), dalam keadaan biasa, perubahan diperkenalkan adalah hasil daripada pengubahsuaian kelakuan yang lepas untuk menyesuaikannya dengan situasi baru.

Mengikut Carzo dan Yanouzas (Jaafar, 1999), "Perubahan ialah satu pola penukaran kelakuan atau situasi yang stabil kepada pola perlakuan dan status stabil yang lain."

Perubahan yang berlaku dalam sesebuah organisasi, sebagai contoh di sesebuah institusi pendidikan seperti sekolah seharusnya bersifat Kaizen (berterusan - berlaku secara beransur-ansur serta menyeluruh) dan positif, yang membawa ke arah yang lebih baik atau penambahbaikan. Ini amat penting bagi menyesuaikannya dengan perkembangan dunia yang pesat dan pantas.  Perubahan juga merujuk kepada pengenalan sesuatu tingkahlaku baru atau amalan-amalan baru yang diharap akan dapat memperbaiki amalan atau keadaaan yang sedia ada di sekolah.

Oleh itu, persoalan yang seterusnya adalah siapakah yang bertanggungjawab bagi mengetuai dan mengurus proses perubahan tersebut?  

Siapakah atau golongan manakah di antara warga sekolah tersebut yang dikenalpasti sebagai ‘agen perubahan?

Siapa sebenarnya agen perubahan dalam sesebuah institusi pendidikan? 

Berdasarkan pembacaan saya, terdapat banyak interpretasi berkenaan agen perubahan ini. Antaranya ialah :
  1.      James A. F Stoner dan Charles Winkel (1989 : 439) -  agen perubahan adalah individu yang bertanggungjawab memegang peranan kepimpinan dan mengurus proses perubahan terhadap sistem klien (individu, kumpulan atau organisasi). Agen perubahan ini boleh terdiri dari anggota di dalam atau di luar organisasi. Walau bagaimanapun agen dari luar tidak berkepentingan dipercayai lebih mudah diterima berbanding agen dari dalam organisasi berkenaan.
  2.   Rusinah Sirun (1999 : 254) - "Change agents are individuals group that take responsibility for changing the existing pattern of behavior of a person or social system".

Persoalan yang ingin saya ketengahkan ialah adakah pengetua (sebagai agen perubahan di sekolah (Shahril, 2000)) sahaja yang perlu melunaskan tanggungjawab ini? 

Persoalan seterusnya adalah kemampuan pengetua yang juga turut dibebani dengan tugas lain sebagai pentadbir dan pemimpin pengajaran bagi melaksanakan perubahan secara berkesan.